Karnival Sukan Air Bagan Datoh 2015 Terima Sambutan Menggalakkan
BAGAN DATOH: Penganjuran Karnival Sukan Air Bagan Datoh yang memasuki tahun ketiga ternyata menerima maklumbalas positif daripada penduduk kawasan-kawasan yang berhampiran.
Seorang pengunjung Nor Melur Ismail 43, berkata aktiviti yang diadakan pada karnival ini sangat menarik dan bersesuaian dengan semua lapisan masyarakat.
"Ini merupakan kali pertama saya hadir walaupun saya menetap di Teluk Intan. Apa yang saya lihat, aktiviti-aktiviti yang disediakan cukup menarik.
"Semua aktivit ini seimbang dimana semua lapisan masyarakat sama ada yang berkeluarga atau orang muda, dapat sertainya,"ujarnya ketika ditemui di karnival tersebut.
Tambahnya lagi, beliau mengharapkan karnival sebegini dapat diteruskan lagi di masa akan datang dan diadakan pada cuti sekolah untuk menarik lebih ramai pengunjung.
Seorang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari yang hanya mahu dikenali sebagai Khamalia 14, turut melahirkan rasa seronok apabila dapat menyertai karnival tersebut buat kali pertama.
"Saya tahu tentang karnival ini dari kawan-kawan yang tinggal di Bagan Datoh. Jadi saya ingin merasai sendiri kemeriahan karnival sukan air yang disebut oleh rakan-rakan.
"Aktiviti disini saya tengok banyak juga yang melibatkan belia seperti sukan berbasikal, memancing dan sukan air,"ujarnya.
Mengulas lanjut, karnival seperti ini juga perlu terus diadakan terutama sewaktu cuti sekolah supaya pelajar-pelajar tidak membuang masa dan dapat berseronok dengan cara yang lebih sihat.
Mahasiswa lepasan daripada Universiti Teknologi Mara, Shaiful Azlan Sofian 22 pula berkata, selain mempamerkan aktiviti-aktiviti sukan, karnival ini turut menyediakan taklimat dan kaunseling untuk memasuki bidang kerjaya melalui booth Pusat Kerjaya Amanjaya (PeKA) yang dibuka berhadapan Kompleks Pelancongan Bagan Datoh.
"Pada saya ianya sangat menarik. Selain daripada kita melihat aktiviti-aktiviti sukan yang diadakan, pelajar yang sudah tamat pengajian juga dapat mencari maklumat berkaitan kerjaya oleh PeKA.
"Saya harap, ianya dapat diteruskan lagi di masa akan datang,"ujarnya.
Karnival Sukan Air Bagan Datoh telah berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu di sekitar Kompleks Pelancongan Bagan Datoh.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah merasmikan karnival tersebut, semalam.




0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.