KUALA KANGSAR: Walaupun cuma menamatkan persekolahan setakat
tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru, ianya sama
sekali tidak mematahkan semangat Muhammad Khairul Naim Abdullah Zeid untuk meneruskan minatnya terhadap seni lukisan.
Remaja berusia 20 tahun itu berkata, beliau mula cenderung
dalam seni lukis ketika masih di bangku sekolah lagi, namun enggan menunjukkan
bakatnya kepada orang ramai kerana
perasaan malu.
“Selepas tamat bersekolah, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) saya tidak begitu baik. Tambahan pula, keluarga saya agak susah untuk sambung
pelajaran ke kolej-kolej.
“Saya kemudiannya bekerja di kilang pemprosesan ayam dan
membantu berniaga di tapak pasar malam. Pada ketika itu, saya berhenti melukis
buat sementara waktu,”katanya.
Menurut anak kelima dari tujuh beradik itu lagi, beliau
terpaksa membantu keluarganya dengan mencari pendapatan sampingan.
Ujarnya, abang-abangnya hanya bekerja sendiri dan sudah
mempunyai tanggungan masing-masing.
Selepas beberapa tahun, beliau kembali aktif melukis dengan
sejak dua bulan lalu.
“Pada mulanya, saya saja-saja melukis. Ada kawan yang
melihat lukisan saya itu, meminta saya melukis potret keluarganya dan dia akan
membayar untuk lukisan itu.
![]() |
| Naim (Kiri) bersama gurunya, Cikgu Syakilla (kanan) |
“Kemudian baru saya tahu, melalui lukisan ini juga, saya
dapat membantu mencari pendapatan sampingan bagi meringankan beban keluarga,”katanya.
Katanya lagi, beliau menjual lukisan potret dengan harga
serendah RM10 dan ianya bergantung kepada gambar yang diberikan oleh
pelanggannya.
Beliau turut menyediakan bingkai gambar sekiranya diminta
oleh pelanggan dan itu turut dikenakan caj tambahan.
“Tempahan paling jauh yang saya pernah terima adalah dari
Kedah. Sekarang ini, kebanyakkannya daripada rakan-rakan dan penduduk setempat.
“Kalau tempahan dari jauh, saya kenakan caj sebanyak RM15
termasuk untuk pos,”ujarnya.
Beliau berhasrat untuk berkunjung ke Balai Seni Lukis Negara
dan Pasar Seni bagi melihat dan berjumpa secara dekat lebih ramai
pelukis-pelukis professional, namun belum berkesempatan dek kerana kesempitan
hidup.
Sementara itu, bekas gurunya Noor Syakilla Sharif yang berjaya mengesan bakatnya
selepas bertemu secara tidak sengaja pada awal bulan lalu di perpustakaan Kuala
Kangsar.
“Saya pada mulanya tak tahu tentang bakat melukis yang ada
pada Naim. Ketika berjumpa di perpustakaan tempoh hari, saya nampak Naim bawa
lukisan-lukisan dan saya berasa kagum.
“Saya kemudian meminta dia melukis gambar anak saya dan
ianya sangat cantik. Saya memuatnaik gambar potret anak saya di Facebook dan
ramai rakan-rakan saya tertarik dengan lukisan Naim.
“Saya pun tahu dia dari keluarga yang susah, jadi niat saya
memuatnaik gambar tersebut di Facebook adalah untuk membantu Naim bagi
menambahkan pendapatannya,”ujarnya.
Orang ramai yang ingin menempah lukisan yang dilukis oleh
Naim boleh menghubunginya di talian 019-302 2901 atau melalui Facebooknya, Ku
Khair Naim.






0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.