Menu

IKLAN


 Jika sebelum ini, ketam lembut yang biasanya dihidangkan bersama-sama nasi ketika menjamu selera, kini diolah ke satu bentuk menu yang baharu untuk menarik perhatian pelanggan. Burger Ketam Lembut, itulah menu dan daya tarikan baharu untuk pelanggan yang ingin mencari suatu kelainan dalam hidangan.

Pemilik gerai Burger Ketam Lembut, Firdaus Yushof Za’ba 27, berkata  kelainan menu tersebut diperkenalkannya supaya mampu menarik lebih ramai pengunjung berkunjung ke gerainya yang  terletak di Ulu Chepor, Ipoh.

“Kalau diikutkan, keluarga saya memang menjual burger dari dahulu lagi. Tetapi selepas ayah saya meninggal pada 2004, perniagaan ni terhenti. Bila saya buka semula gerai burger ini pada Oktober lalu, saya terfikir bagaimana hendak ‘berlawan’ dengan gerai-gerai burger yang lain.

“Bila saya tengok semula, di Kuala Lumpur sudah ada burger ketam lembut, jadi saya cuba untuk buka di sini. Saya rasa, saya adalah orang pertama yang menjual burger ketam lembut di Ipoh,”ujarnya.

Tambah bapa kepada dua orang anak ini lagi, beliau mendapatkan bekalan ketam lembut daripada seorang pembekal di Taiping memandangkan itu adalah pembekal yang terdekat untuk berurusan.

Jelasnya, bekalan ketam lembut itu diambil setiap tiga minggu dengan anggaran sekitar 30 kilogram, sekali ambil.

Selain menyajikan burger ketam lembut dan burger biasa, beliau turut menawarkan Nasi Goreng Ketam XL Seafood kepada para pelanggannya yang ingin menikmati ketam lembut bersama-sama nasi.

“Bagi Burger Ketam, saya menggunakan ketam lembut saiz L, manakala bagi Nasi Goreng Ketam XL Seafood pula, saya menggunakan ketam saiz XL.

“Saya menggunakan ketam nipah dan seperti semua tahu, ketam nipah ini mempunyai banyak khasiat seperti dijadikan ubat bagi demam denggi,”ujarnya.

Firdaus berkata, beliau turut merancang untuk mempunyai restoran sendiri yang memfokuskan kepada makanan laut di masa akan datang.

 “Harga saya tak pasti murah atau mahal. Tetapi bagi saya, yang penting saya dapat pulangan modal dan sedikit untung. Yang penting, pelanggan berpuas hati dengan hidangan yang disajikan.

“Bagi yang sudah biasa makan ketam lembut, mereka akan cakap ianya sangat murah. Bagi saya, ianya berpatutan,”katanya.

Harga bagi Burger Ketam ialah RM10.90 manakala bagi Nasi Goreng Ketam XL Seafood pula berharga RM15.90. Setiap hujung minggu, beliau mampu menjual sekitar 20 biji burger ketam.

Firdaus turut berkata, beliau turut menjual ketam mentah sekiranya ada yang ingin membeli secara terus daripadanya dengan harga RM35 untuk ketam bersaiz M (enam ekor) dan ketam bersaizXL (empat ekor).

Orang ramai yang ingin merasai keenakan ketam lembut dalam versi burger boleh menghubungi Firdaus di talian 013 228 0862 untuk membuat tempahan atau ke laman Facebook beliau, Ketam Lembut YB Ipoh. Beliau menjalankan perniagaan pada hari Selasa hingga Sabtu bermula dari jam 8 malam hingga 11.30 malam.

Lokasi gerai ini terletak selepas simpang ke Kawasan Perkelahan Ulu Chepor, Ipoh. Ianya terletak di sebelah kiri di selekoh selepas simpang ke kawasan perkelahan tersebut.


0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top