Menu

IKLAN


TANJONG RAMBUTAN: Satu kenangan yang cukup indah bukan sahaja untuk kedua ibubapa, tetapi kepada empat beradik apabila berjaya menamatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap II melalui program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) di dalam bidang Perkhidmatan Estetik.

Empat beradik tersebut ialah Yoges Malar Kasimuthu 37, Priya Chandra Malar 35, Shanthini Dewi Malar 33 dan Kasthuri Selva Malar 23.

Yoges berkata, keempat-empat mereka telah menerima latihan di My Beauty Global Esthetic, syarikat milik ibu mereka.

Tambahnya, mereka berempat menjadikan ibu mereka sebagai inspirasi untuk mereka terus berjaya.

"Tambahan pula, kami berempat bekerja sendiri dan saling berkaitan antara satu sama lain.

"Jadi bila ada semangat untuk mencari ilmu dalam kemahiran, kami jadi lupa seketika tentang kerja kami sendiri. Lagi pula, ilmu ini dapat kami berikan kepada anak-anak kami nanti,"ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau bersama adik-adik serta ibunya telah menubuhkan Persatuan Setia Kasih Wanita Perak sejak tiga tahun lalu.

"Tujuan kita adalah untuk mengumpulkan semua wanita, terutama ibu-ibu tunggal dan membantu mereka menjalankan perniagaan.

"Tidak semestinya mereka perlu membuka kedai, tetapi mereka boleh buat secara bebas, iaitu apabila menerima tempahan,"ujarnya.

Sementara itu, status Orang Kelainan Upaya (OKU) tidak menghalang Nor Shuhaida Mohd Ali 25, menuntut ilmu di dalam bidang yang digemarinya.


Beliau yang kini lumpuh dari pinggang ke bawah akibat kemalangan pada tahun 2011 telah berjaya memiliki sijil kemahiran tahap dua di dalam bidang pembuatan pakaian wanita.

Katanya, beliau yang baru bekerja sejak tiga bulan lalu di syarikat tersebut telah mendapat dorongan dan sokongan daripada pemilik syarikat itu, Norlela Idris.

"Saya berhadapan dengan sedikit rasa malu, tetapi saya jadikan itu sebagai pembakar semangat untuk saya.

"Perancangan saya di masa hadapan adalah ingin membuka perniagaan saya sendiri,"ujarnya.

Katanya, beliau terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya, di syarikat yang sama, sebelum terlantar di rumah.

Kemudian, majikannya mempelawa beliau untuk kembali bekerja di syarikat tersebut dan menggalakkan beliau mengikut program SLDN.

0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top