
IPOH: Kempen ‘Cerahi Kehidupan Bersama TOP & MYDIN’ yang bermula pada 12 Oktober lalu berjaya mengumpul dana sebanyak RM50,670, melebihi jumlah sasaran yang diletakkan iaitu sebanyak RM40,000.
Pengurus Pemasaran Sothern Lion Sdn Bhd, Carmen Foo berkata, kempen tersebut diadakan bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik.
“Melalui program ini juga, kami membantu menaikkan semangat kanak-kanak dengan memberi satu set kelengkapan sekolah termasuklah baju sekolah, kasut dan beg sekolah.
“Sepanjang kempen yang berlangsung selama tiga bulan yang berlangsung di seluruh Negara, RM0.30 daripada setiap pembelian produk TOP yang terpilih di seluruh cawangan Mydin di seluruh Negara akan dimasukkan ke dalam dana tersebut untuk memberikan barangan keperluan sekolah kepada kanak-kanak ini,”katanya ketika Majlis Penutup Cerahi Kehidupan Bersama TOP dan Mydin di Mydin Meru Raya, di sini, petang tadi.
Turut hadir ke majlis tersebut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rusnah Kassim.
Sebanyak 20 buah rumah kebajikan kanak-kanak di seluruh Negara telah terpilih untuk menerima sumbangan tersebut dengan jumlah penerima seramai 440 orang.
Di Perak, empat buah rumah kanak-kanak telah terpilih iaitu Praise Hime, Rumah Anak Yatim Yayasan Amanah An-Nur Maisarah, Pertubuhan Kebajikan Kasih Nurul Iman dan Vision Home.
Sementara itu, Rusnah berkata, kerajaan negeri dan pihak swasta perlu bekerjasama bagi memastikan bantuan dapat diberikan kepada merekayang memerlukan.
“Saya selaku Exco kerajaan negeri ingin melihat kerjasama diantara kerajaan dan swasta untuk kita memastikan bahawa lebih ramai yang memerlukan bantuan itu dapat kita dekati.
“Pada 7 Disember lalu, kerajaan negeri telahpun memberi peruntukkan sebanyak RM4.3 juta kepada badan bukan kerajaan (NGO) sukarelawan termasuk rumah-anak-anak yatim dan rumah kebajikan orang tua yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat,”katanya.
0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.