Menu

IKLAN


Siapa sangka, hidangan ringkas kini dibawa ke satu tahap yang boleh dibanggakan. Meskipun hanya sekeping daging yang didatangkan bersama sayuran segara dan diapit dengan dua keping roti, ianya boleh menjadi satu menu baharu yang mengenyangkan. Rawang Burger Bakar (RBB) Ipoh kini menjanjikan satu menu menarik untuk penduduk di bandaraya itu.

Pemilik RBB Ipoh, Shaful Bahari Ahmad 42 berkata, perniagaan burger bakar yang dimulakan sejak tiga tahun lalu kini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peminat makanan ala Barat itu.

“Saya mula dikenalkan dengan pemilik RBB pada tahun 2012 di Kuala Lumpur. Jadi apabila ditawarkan untuk membuka francais burger bakar itu, saya terus terima kerana saya lihat, burger bakar tengah menjadi fenomena.

“Pada ketika itu, ada beberapa jenama burger bakar yang lain turut menjadi buah mulut orang ramai dan saya tahu, ianya satu peluang yang baik jika saya membuka RBB di Ipoh memandangkan pada ketika itu, masih belum ada burger bakar di Ipoh,”katanya.

Tambahnya lagi, di awal perniagaannya, beliau membuka gerai di kawasan tempat letak kereta di Medan Gopeng, tetapi beliau diminta untuk mengubah lokasi perniagaannya kerana kawasan tersebut bukan tapak untuk berniaga.

Katanya, kini beliau membuka perniagaan burger bakarnya di Hentian Limau Tambun, Jalan Sultan Nazrin sejak 1 Ogos lalu dan masih menerima sambutan yang menggalakkan.

MenurutPenyelia Kewangan Ipoh Kargo Terminal itu lagi, kelainan yang ada pada RBB adalah dari segi patty yang dibuat sendiri dan ianya adalah keluaran Bumiputera. Selain itu, RBB juga turut menggunakan sayuran dan sos yang berkualiti.

“Setakat ini, hampir semua pelanggan kami berpuas hati. Tetapi ada juga pelanggan yang tak biasa dengan burger bakar, mereka cakap harganya mahal.

“Tetapi apabila dilihat dengan sayuran, dan sos, mereka tahu dan faham mengapa harganya sebegitu.

“Kami menggunakan cheesy sauce dan bukannya mayonis biasa. Selain itu, kami menggunakan salad coral. Ditambah lagi, kami menggunakan minyak zaitun ketika menyediakan burger bakar kepada pelanggan,”jelasnya.

Menu di Rawang Burger Bakar
Selain itu, tambah pemegang Diploma Pengajian Perniagaan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu lagi, patty yang dibakar tidak menggunakan dapur gas, sebaliknya dibakar dengan menggunakan arang dan ianya merupakan satu kelainan berbanding burger bakar yang lain.

Tambahnya lagi, beliau juga sering bertanyakan kepada pelanggan tentang kelainan yang ada pada RBB berbanding burger bakar lain yang ada di sekitar bandaraya Ipoh.

“Kebanyakkan pelanggan kami apabila ditanya tentang kelainan RBB, mereka akan jawab adalah patty yang digunakan. Mereka kata ianya berjus serta basah dan tidak kering,”jelasnya.

Beliau yang turut dibantu oleh isterinya Nor Azira Zulkufli 39 turut berkata, untuk menarik lebih ramai pelanggan, beliau kini menawarkan redeem card kepada pelanggannya.

Redeem Card ini telah mendapat kebenaran dari ibu pejabat RBB. Kad ini adalah untuk setiap kali kunjungan mereka ke RBB Ipoh dan bukannya ke atas setiap pembelian.

“Jadi, setiap kali pelanggan datang, kita akan beri satu cop. Bila dah cukup lapan cop, pelanggan akan diberi satu single burger. Cop akan diberikan sama ada pelanggan itu makan di sini, atau bawa balik,”ujarnya.

Mengulas mengenai perancangan di masa hadapan, Shaful Bahari berkata, beliau berharap agar dapat membuka restoran yang berkonsepkan ‘bakar’ di masa akan datang.

“Saya harap dapat mencari satu kawasan sendiri dan membuat konsep makanan yang dibakar. Kami bukan fokus kepada burger sahaja, sebaliknya kepada makanan-makanan lain seperti ikan, ayam dan sebagainya,”katanya.

Orang ramai yang ingin merasai keenakan Rawang Burger Bakar bolehlah berkunjung ke No 32 Gerai Sam Poh Tong, Hentian Limau Bali, Jalan Sultan Nazrin Shah.


RBB Ipoh dibuka setiap hari kecuali Ahad dan beroperasi dari jam 6 petang hingga 12 malam. Orang ramai juga boleh menghubungi Shaful Bahari di talian 016 – 591 4902 untuk membuat tempahan awal.


0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top