Menu

IKLAN

Gambar Hiasan
Isu cadangan kemasukan seramai 1.5 juta warga Bangladesh ke negara ini ternyata menerima maklumbalas mengejutkan daripada pelbagai pihak, terutamanya golongan muda.

Meskipun pihak Kementerian Dalam Negeri berkata, kedatangan 1.5 juta pekerja asing berkenaan adalah untuk memenuhi peluang pekerjaan, terutamanya dalam sektor ‘3D’ 'Dirty, Difficult, Dangerous' atau kotor, susah dan berbahaya, namun, tindakan itu ternyata menimbulkan rasa tidak puas hati terutamanya dalam kalangan belia.

Muhammad Shofi
Pekerja swasta, Muhammad Shofi Mustapha 24, berkata, golongan belia sanggup melakukan kerja-kerja 3D seperti yang dicabar oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekiranya menerima bayaran dan gaji yang setimpal.

“Tidak patut (gaji tidak setimpal). Kerja penat sampaikan kadang-kadang cuti tidak dapat, berhitam, cedera tetapi tidak ada potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya.

“Kebanyakkan majikan hanya mementingkan keuntungan sahaja dan mereka cuba mengurangkan kos, lebih-lebih lagi bab penggajian. Sebab itu mereka ambil pekerja asing dengan bayaran upah serendah RM50,”katanya ketika dihubungi Perak Silveryouth.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya gaji yang diberikan itu setimpal dan mempunyai potongan KWSP, golongan belia sanggup untuk melakukan kerja tersebut.

“Belia pada masa kini dah celik. Bukan lagi golongan belia yang boleh diperbodohkan,”tegasnya.

Norhartini
Seorang lepasan universiti yang hanya mahu dikenali sebagai Nurhartini 24 pula berkata, kehadiran warga asing ke negara ini secara tidak langsung akan memberi kesan kepada peluang pekerjaan terhadap graduan tempatan.

“Ya. Ianya sangat memberi kesan kerana kebanyakkan mereka datang untuk bekerja dan sanggup melakukan pelbagai kerja asalkan dapat wang untuk kelangsungan hidup dengan bayaran yang murah.

“Maka, hal inilah menjadi sebab untuk majikan lebih memilih untuk mengupah pekerja asing berbanding belia tempatan. Ini akan menambahkan lagi kesukaran bagi belia tempatan untuk mendapat pekerjaan,”ujarnya.

Dalam masa yang sama, Nurhartini berkata, masih ada golongan belia yang sanggup melakukan kerja 3D walaupun tidak ramai.

“Berdasarkan pemerhatian saya, lebih ramai golongan belia memilih untuk bekerja di pejabat berbanding melakukan kerja-kerja 3D,”ujarnya.

Nurhidayah
Blogger muda, Nurhidayah Nordin 26,  juga turut bersetuju bahawa kehadiran warga asing di negara ini akan memberi kesan terhadap peluang pekerjaan terhadap tenaga kerja tempatan.

“Kalau perkara ini terjadi, tidak mustahil suatu hari nanti golongan belia Malaysia akan menjadi penjenayah kerana kekangan hidup seperti yang berlaku pada hari ini.

“Disebabkan itu, sekiranya kerajaan atau sesebuah syarikat mahukan belia tempatan bekerja dalam sektor 3D, maka harus adakan keistimewaan buat pekerja terutamanya mengenai gaji dan lain-lain,”ujarnya.


0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top