
IPOH: Kerajaan melalui Lembaga Penyelaras Pendidikan Islam (LEPAI) sedang melakukan kajian terperinci bagi membolehkan Institusi Tahfiz di negara ini dapat diperkasakan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, ia khususnya daripada segi kurikulum bagi menjamin masa depan para pelajar.
Ujarnya, sudah menjadi trend terkini yang mana pendidikan digabungkan dengan tahfiz untuk melahirkan profesional Islam yang hafaz Al-Quran.
“Namun, persoalan besar timbul di sini, ke mana saluran peningkatan pengajian boleh berlaku sekiranya tidak terdapat pengkhususan di peringkat tinggi supaya sistem pendidikan Al- Quran menjadi lebih komprehensif dan bukan sekadar tertumpu kepada proses hafazan semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di majlis Perasmian Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-37 di sini, pada Selasa.
Turut hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Negeri Perak, Datuk Mohd Nizar Zakaria dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha.
Seramai 78 peserta dari seluruh negara mengambil bahagian dalam majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Amanjaya, Meru di sini bermula pada hari Selasa hingga Sabtu.
Dalam pada itu, beliau berkata, JAKIM telah mempelopori usaha dengan penubuhan Darul Quran yang bermula pada bulan Mac 1966 hasil daripada ilham Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.
“Darul Quran menjadi pelopor dalam bidang pendidikan tahfiz profesional apabila mengadakan kerjasama strategik dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bermula pada tahun 2000.
“Melalui program ini, para pelajar akan mengikuti kelas hafazan Al-Quran di Darul Quran bagi tempoh 18 bulan sebelum melangkah ke Pusat Asasi UIAM dalam bidang profesional seperti perubatan, farmasi, undang-undang, senibina dan sebagainya,” tambah beliau lagi.
Sementara itu, Jamil berkata, pada masa kini, ramai penghafaz-penghafaz Al-Quran terdiri daripada generasi muda yang mana ia merupakan satu perkembangan yang amat membanggakan.
“Remaja merupakan modal insan yang penting kepada negara. Penglibatan secara langsung golongan remaja dalam majlis hafazan seperti ini adalah satu perkara yang perlu digalakkan,” tegasnya.
Beliau berkata, keterlibatan golongan berkenaan dalam bidang hafazan Al-Quran mampu melahirkan satu generasi yang berjiwa besar, dididik dengan Al-Quran serta dipandu oleh ajaran Al-Quran.


0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.