IKLAN


IPOH: Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abd Rahim Hanafi berkata, sehingga kini terdapat 9,590 anggota Kor Kadet Polis dari 168 sekolah di negeri Perak.

Ujarnya, Kor Kadet Polis ini dapat memberi pendedahan tentang tugas-tugas kepolisan kepada golongan pelajar.

“Pada pandangan saya, ini adalah satu didikan awal bagaimana tugas-tugas kepolisan dapat didedahkan kepada pelajar-pelajar menerusi disiplin, jati diri dan bekerja sebgai satu pasukan.

“Oleh itu, saya menyeru kepada sekolah-sekolah di Perak yang masih belum menubuhkan Kor Kadet Polis ini dapat menubuhkannya bagi menambahkan bilangan ahli Kor Kadet Polis.

Ujarnya lagi, Kor Kadet Polis merupakan didikan awal pihak polis kepada remaja-remaja yang akan menjadi pemimpin negara di masa akan datang.

Sehingga kini, terdapat 115,940 ahli Kor Kadet Polis di seluruh negara. 

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Abd Rahim berkata, kes kecurian motosikal merupakan antara penyumbang tertinggi bagi indeks jenayah di negeri Perak.

Ujarnya, antara yang menyumbang kepada peningkatan indeks jenayah adalah jenayah harta benda.


Tegas Abd Rahim lagi, kadar indeks jenayah di negeri Perak menunjukkan peningkatan sebanyak sembilan peratus dengan jumlah 796 kes yang dicatatkan sehingga semalam.

“Kes kecurian motosikal merupakan penyumbang kepada kenaikan indeks jenayah di negeri Perak iaitu sebanyak 39 peratus daripada penyumbang indeks jenayah dan diikuti dengan kes-kes kecurian lain dan pecah rumah.

“Peningkatan indeks jenayah ini paling ketara adalah di tiga daerah iaitu Ipoh, Manjung dan Taiping. Bagaimanapun ianya masih dalam keadaan terkawal,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Sambutan Ulang Tahun ke-46 Kor Kadet Polis Peringkat Kontinjen Perak, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada masyarakat dan pemilik motosikal terutamanya untuk mengambil langkah menjaga harta benda dengan menggunakan ‘double lock’ untuk motosikal masing-masing.


28 Apr 2016

0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top