IPOH: Golongan muda di negeri ini diharapkan agar dapat menabur bakti di Perak selepas menamatkan pelajaran mereka tidak mengira dalam apa juga bidang.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Maslim Sham Razman berkata, negeri Perak amat memerlukan tenaga muda untuk berkhidmat di negeri ini walaupun dalam sektor swasta.
“Harapan kerajaan negeri pada hari ini adalah mengharapkan agar tidak terlalu banyak pengaliran tenaga muda keluar dari Perak. Kita mahu kalau boleh mereka ini dapat menabur bakti di negeri kita kerana kita amat memerlukan tenaga muda.
“Melihat kepada perkembangan ekonomi yang tumbuh cukup baik sama ada dalam negara dan negeri, kita dapat melihat peluang-peluang pekerjaan dapat diberikan oleh pelbagai sektor, khususnya sektor swasta untuk rakyat Perak,”katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Karnival Kerjaya di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ipoh, hari ini.
Turut hadir sama, Pengarah Wilayah Utara Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia, Zaihan Shukri, Pengarah ILP Ipoh, Jamil Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kerjaya Amanjaya (PeKA), Ameron Zulqarnaen Yeop Rashidi.
Sebanyak 40 syarikat telah menyertai karnival tersebut yang menawarkan sebanyak 3,653 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang.
Beliau turut mengharapkan kerajaan negeri menerusi PeKA dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) agar dapat memperbanyakkan lagi program karnival kerjaya seperti ini bagi membantu golongan muda mendapat pekerjaan yang sesuai.
“Kadar pengangguran di negeri Perak pada tahun 2014 adalah sebanyak 3.4 peratus. Ruang pekerjaan masih banyak lagi kosong.
“Sebab kalau kita lihat pengaliran tenaga professional, mahir dan separuh mahir agak tinggi. Jadi kalau mereka dapat berkhidmat di Perak, saya rasa banyak industri atau majikan yang berkelayakan dapat menerima mereka,”jelas beliau.
Dalam masa yang sama, beliau turut meminta golongan muda untuk tidak terlalu memilih pekerjaan mengikut kelulusan yang mereka punyai.
“Contohnya, hari ini mungkin ada pelajar kejuruteraan yang baru tamat, jika tidak ada kekosongan dalam bidang kejuruteraan, mungkin boleh pilih ke bidang pentadbiran atau lain-lain yang boleh dijadikan sebagai batu loncatan.
“Selain itu, majikan juga memerlukan ramai lagi tenaga kerja dan mereka berharap lebih ramai rakyat tempatan mengambil peluang-peluang pekerjaan ini tanpa terlalu bergantung sepenuhnya terhadap tenaga pekerja luar,”ujarnya.
0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.