IKLAN



IPOH: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan yang diberikan untuk menghasilkan usahawan perlu diterjemahkan dengan keberhasilan jumlah usahawan yang telah dan dapat diwujudkan.

Ujarnya, kejayaan usahawan bukan sahaja sekadar menjadi ‘jaguh kampung’, sebaliknya perlu mencapai sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Usahawan yang dilahirkan bukan hanya sekadar di peringkat ‘jaguh kampung, tetapi perlu hingga ke peringkat serantau. Malah harus bermatlamatkan untuk berada di peringkat antarabangsa.

“Saya yakin ianya boleh dicapai apabila kerjasama ini dilakukan dengan terjemahan oleh semua pihak,”ujarnya ketika ditemui media selepas merasmikan Ekspo Outreach Dana Bumiputera@Perak, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Sri Abdul Wahid Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, serta Pengarah Unit Dana Bumiputera Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun.

Pada majlis itu juga, Ahmad Zahid turut menyampaikan dana dalam bentuk pinjaman mikro kredit dan geran kepada bakal-bakal usahawan dalam majlis yang diadakan di Stadium Indera Mulia, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa usaha kementerian dan agensi yang terlibat serta komited bagi membantu usahawan baharu amat dihargai.

Namun, pada masa yang sama, beliau telah meminta agar pihak-pihak tersebut dapat turun ke bawah untuk menyampaikan maklumat dan memberi penjelasan.

“Saya meminta agar mereka ini turun ke peringkat akar umbi bukan sahaja untuk memberikan penjelasan dan maklumat terbaru dan tambahan bagi membolehkan lebih ramai usahawan dapat dimunculkan, tetapi kita harus melihat dari segi pencapaian yang dilakukan oleh mereka.

“Dalam hal ini, kita harus berada di luar kotak. Kita bukan sahaja perlu sering turun kebawah, tetapi tindakan susulan hendaklah dilakukan untuk melihat keberhasilan usaha-usaha yang dilakukan oleh semua pihak agar peruntukan yang diberikan digunakan sebaiknya,”ujarnya.

Sementara itu, Khairul Azwan yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia berkata, idea penganjuran ekspo itu bermula apabila pihaknya menerima pelbagai aduan individu serta kumpulan yang ingin memulakan perniagaan mereka susulan Konvensyen Dana Bumipuera yang diadakan pada November lalu.

“Antara masalah yang diutarakan mereka melibatkan kesukaran mendapatkan pinjaman atau geran sebagai modal disebabkan pelbagai faktor termasuk masalah memadankan model perniagaan dengan dana kementerian atau agensi yang dipohon serta kerenah birokrasi.

“Namun, masalah itu berjaya dikurangkan menerusi ekspo sebegini apabila hampir RM30 juta dana dalam bentuk pinjaman mikro kredit dan geran menerusi Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan serta Skim Permulaan Usahawan Bumiputera (SUPERB) TERAJU (Jabatan Perdana Menteri) diserahkan kepada para bakal usahawan hari ini,”ujarnya.


17 Apr 2016

0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top