IKLAN


PARIT BUNTAR : Permasalahan yang dihadapi oleh golongan belia sama ada yang melibatkan sukan dan kerjaya akan didengari secara terus menerusi pelbagai program yang dianjurkan sepanjang permukiman daerah berlangsung.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, salah satu tujuan program permukiman yang diilhamkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir adalah untuk mengenalpasti dan mendengar segala cabaran yang berlaku di setiap daerah di Perak.

" Semua perkara-perkara yang dibangkitkan ini kita akan cuba selesaikan dan perkara tersebut merupakan masalah kecil, mungkin kita boleh selesaikan secara jangka masa pendek.

"Tetapi sekiranya perkara itu besar dan memerlukan dana yang besar, ia mungkin memerlukan jangka masa panjang untuk diselesaikan,"katanya ketika ditemui selepas program Cekodok Talk di Taman Kerian, malam tadi.


Program tersebut merupakan salah satu program di bawah portfolio beliau dalam program permukiman di daerah Kerian yang bermula 17 Mei sehingga 20 Mei ini.

Ujarnya lagi, sekiranya peruntukan yang diperlukan itu besar bagi menyelesaikan sesuatu masalah, pihaknya akan memanjangkan perkara tersebut kepada pihak yang berkaitan termasuklah pihak kementerian.


Mengulas mengenai program Cekodok Talk, Shahrul Zaman berkata, ianya merupakan satu pendekatan yang dianjurkan secara santai untuk berinteraksi dengan golongan belia tempatan.

"Kita lihat soalan-soalan yang dihantar menerusi SMS dan aplikasi Whatsapp lebih cenderung kepada suka bola sepak. Mungkin kerana saya adalah Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dan pengurus pasukan bola sepak Liga Super Perak.


"Soalan-soalan yang diberikan akan dijadikan input dan panduan untuk PAFA menambahbaii pasukan Liga Super, Piala Presiden, Piala Belia dan sebagainya serta untuk pembangunan akar umbi sukan bola sepak negeri ini,"jelasnya.

Terdahulu, beliau juga turut hadir ke program 'Forum Sembang Santai Selfie Hati' di Masjid Hijau, Kampung Kedah di sini.

Program yang berbentuk keagamaan itu menampilkan Pencetus Ummah, Azraie dan Imam Muda Nazrul Izwan itu menarik hampir 100 jemaah masjid dan golongan muda.


Shahrul Zaman berkata, program Selfie Hati itu akan diteruskan dalam permukiman di daerah lain memandangkan sambutan yang begitu memberansangkan.


18 May 2016

0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top