Menu

IKLAN

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak dengan kos, saman fitnah RM2 juta yang difailkan bekas calon PKR Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Hakim Datuk Mohd Yazid Zakaria membuat keputusan itu selepas mendapati Mohd Shamsul selaku plaintif, gagal membuktikan kenyataan yang didakwa fitnah oleh Abdul Hadi, merujuk kepada dirinya.
Dalam penghakimannya, Mohd Yazid berkata, mahkamah mendapati kenyataan dibuat Abdul Hadi bahawa ada calon PKR yang bertindih kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-13, tahun lalu terbabit dengan kegiatan pil kuda dan berfahaman komunis, adalah kenyataan fitnah.
Bagaimanapun katanya, plaintif gagal membuktikan kenyataan fitnah itu merujuk kepada beliau.
"Oleh itu tuntutan plaintif ditolak dengan kos RM10,000 kerana defendan (Abdul Hadi) sudah diberikan perlindungan bersyarat oleh undang-undang untuk membuat pengucapan umum untuk kepentingan awam," katanya.
Mahkamah Tinggi di sini, sebelum ini memerintahkan Abdul Hadi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang membayar ganti rugi RM2 juta kepada Mohd Shamsul, berhubung kes saman fitnahnya terhadap Ketua Angkatan Muda PKR Dungun itu.
Mohd Shamsul memfailkan saman fitnah itu bagi membersihkan namanya susulan ceramah Abdul Hadi di Kampung Tebakang, Alor Limbat, Marang pada Pilihan Raya Umum ke-13, pada 22 April tahun lalu.
Beliau mendakwa ceramah itu mengaitkan calon PKR itu dengan pil kuda dan berfahaman komunis, sekali gus menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta reputasinya sebagai calon PKR dan ahli perniagaan.
- Berita Harian Online


0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top