Menu

IKLAN

KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan semua acara sambutan bagi menyambut Tahun Baharu 2015 di negeri ini dibatalkan berikutan banjir yang melanda.
Dalam satu kenyataan baginda menitahkan agar semua masjid di negeri ini mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat esok, memohon agar Allah melindungi rakyat daripada musibah buruk berikutan kejadian banjir.
Baginda juga bertitah, Yayasan Sultan Azlan Shah akan menyumbangkan dua pasang baju kepada semua kanak-kanak yang menjadi mangsa banjir di Perak.
Sementara itu, kira-kira jam 10 pagi tadi, baginda hadir bagi mendengar taklimat mengenai situasi banjir di Perak di bangunan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) di sini.
Prihatin dengan musibah yang menimpa rakyat, baginda kemudian berkenan turun padang meninjau sendiri kawasan yang dilanda banjir sekitar negeri ini sebaik selesai mendengar taklimat berkenaan.
Baginda yang diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, melawat lokasi kawasan yang dilanda banjir sekitar Kuala Kangsar termasuk menggunakan bot meninjau ke kawasan yang sukar dilalui melalui jalan darat.
Baginda dan rombongan kemudian menggunakan jalan darat melawat pusat penempatan banjir di Sekolah Kebangsaan Lasah di Sungai Siput dan sempat bertanya khabar mangsa banjir yang ditempatkan di situ.
Seterusnya, baginda dijadualkan melawat Empangan Chenderoh dekat Lenggong dan kawasan penempatan banjir di Lenggong.
- BERITA HARIAN


0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top