Sukarelawan membersihkan barangan yang dipalit lumpur kesan daripada banjir yang melanda di SMK Tanjung Mas, Kota Bharu, semalam. - Foto NSTP
KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Sabah kini pulih manakala jumlah mangsa di Perak, Kelantan dan Pahang yang masih berada di pusat pemindahan semakin berkurangan pagi ini berbanding malam tadi.
Di SABAH, Pegawai Daerah Pitas, Buduban Oti Majalau berkata kesemua 38 mangsa banjir daripada 10 keluarga di pusat pemindahan Dewan Kusilad di Pitas, dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Di PERAK, jumlah mangsa banjir mencatat penurunan kepada 1,219 mangsa daripada 335 keluarga berbanding 1,366 orang daripada 380 keluarga malam tadi.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak berkata jumlah mangsa di Perak Tengah ialah 1,012 orang, Hilir Perak (173) dan Hulu Perak (34).
Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir di negeri itu berkurangan kepada 545 orang di 13 pusat pemindahan berbanding 908 orang malam tadi.
Jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan berkata ia merangkumi 515 mangsa daripada 111 keluarga di 12 pusat pemindahan di Kuala Krai manakala di Machang, jumlah mangsa kekal 30 orang daripada lapan keluarga di sebuah pusat pemindahan.
Di PAHANG, jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri memaklumkan jumlah mangsa di Temerloh berkurangan sedikit kepada 337 orang berbanding 369 orang malam tadi.
- BERNAMA
0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.