IPOH: Tanjung Malim dikenalpasti sebagai lokasi yang paling bersesuaian untuk dibangunkan sebagai ‘Youth City’ atau Bandar Belia seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya, dalam mesyuarat sebelum ini, beberapa kawasan di negeri itu telah dicadangkan sebagai lokasi bandar berkenaan.
“Kerajaan Persekutuan mengumumkan peruntukan sebanyak RM100 juta untuk mewujudkan tiga projek perintis Bandar Belia di negara ini.
“Perak antara negeri yang terpilih untuk menjayakan projek tersebut,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian sebagai salah seorang ahli panel dalam sesi dialog ‘Hello YB, Youth City, Retorik atau Realiti?’ yang diadakan di Restoran Cherri Corner, di sini, malam tadi.
Turut menjadi ahli panel adalah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Perak, Hairul Anwar Mohamed Noor, CEO Akademi Kepimpinan Kapten Hussien (AKHI), Tengku Zuhri Tengku Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Belia, Al Yashir Yahya pula sebagai moderator.
Dalam mesyuarat yang melibatkan beberapa pihak itu katanya, Tanjung Malim dikenalpasti sebagai kawasan paling sesuai bagi tujuan pembinaan bandar tersebut.
“Setakat ini, salah satu tempat yang disenaraikan adalah Tanjung Malim atau bakal dikenali sebagai Bandar Mualim tidak lama lagi,” ujarnya.
Jelasnya, pemilihan Tanjung Malim adalah satu pilihan yang tepat berikutan kedudukannya agak strategik.
“Kita memilih Tanjung Malim kerana kawasan berkenaan adalah separa bandar iaitu terletak antara bandar dan luar bandar (kampung).
“Hal ini secara tidak langsung akan mewujudkan persekitaran gabungan sekaligus merapatkan jurang antara belia di kedua-dua kawasan berkenaan.
“Kedudukan Tanjung Malim itu sendiri berada di tengah-tengah iaitu menghubungkan Kuala Lumpur, Perak dan juga Pulau Pinang,” tambahnya.
Shahrul Zaman berkata lagi, pembinaan bandar belia ini akan mengambil kira faktor perumahan mampu milik kepada belia, infrastruktur serta kemudahan, pekerjaan dan juga sektor ekonomi belia itu sendiri.
Selain itu, beliau juga berkata, pihaknya sedang membuat perancangan untuk menjadikan bandaraya Ipoh sebagai salah satu cawangan Youth City.
“Ini bertujuan menjadikan Ipoh sebagai satu kawasan yang mesra belia yang mana kita lihat banyak penganjuran aktiviti belia diadakan di sini,” tambah beliau lagi.
Terdahulu program ‘Hello YB, Youth City, Retorik atau Realiti?’ dianjurkan untuk merapatkan jurang antara pemimpin negeri dengan golongan muda tempatan.
Sesi dialog seperti itu secara tidak langsung dapat menjadi sebuah mekanisma idea daripada golongan belia dalam memacu pembangunan negara.
0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.