IPOH: Anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) akan didedahkan dengan latihan untuk menggunakan senjata api bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang tidak diingini ketika bertugas.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zaitun Abd Samad berkata, ia merupakan satu keperluan dan kemahiran penting yang harus dimiliki oleh setiap anggota JPAM.
“Anggota tersebut bukan dilatih untuk menghadapi peperangan sebaliknya bagi meningkatkan keyakinan diri mereka menjadi pemimpin jika berlaku kejadian tidak diingini.
“Jika wujud ancaman dan kita perlu mempertahankan orang awam, maka adalah menjadi satu keperluan bagi kita mempelajari cara menggunakan senjata api,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Majlis Anugerah Kecemerlangan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Perak 2015, di sini, Ahad.
Katanya, JPAM turut memainkan peranan besar untuk membantu pihak berkuasa menjaga keselamatan negara.
“Mengikut Akta Pertahanan Awam 1951, JPAM merupakan angkatan keselamatan selain pasukan tentera dan juga polis.
“Perbezaannya adalah JPAM ini bukan pihak yang ditugaskan untuk bertempur sebaliknya mempertahankan orang awam.
“Dalam perancangan strategik JPAM 2015, kita berhasrat melatih 10 peratus orang awam pada setiap tahun daripada segi kesiapsigaan ini,” katanya.
Beliau berkata lagi, adalah menjadi satu kerugian sekiranya anggota JPAM tidak diajar menggunakan sebarang senjata.
“Setakat ini, kita telah memberi latihan daripada segi bencana, kebakaran, lemas dan kecemasan.
“Mulai tahun ini, kita telah mendapatkan persetujuan daripada beberapa pihak tertentu untuk melatih anggota kita menggunakan senjata,” ujar beliau lagi.
Selain itu, anggota JPAM tegasnya, turut diberi pilihan untuk mempelajari seni mempertahankan diri.
“Saya mengsyorkan setiap pegawai, kakitangan dan anggota JPAM mahir dalam sekurang-kurangnya satu seni mempertahankan diri.
“Kita sudah mendapatkan persetujuan daripada sebuah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk melatih pegawai dan kakitangan JPAM dalam seni mempertahankan diri.
“Kita tidak mampu untuk melatih kesemua anggota secara serentak sebaliknya secara berperingkat bemula dengan pegawai,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, setiap anggota JPAM diletakkan dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi sebarang bencana yang melanda negara ini.
“Kira-kira 50,000 anggota JPAM diarahkan untuk bersiap sedia dalam menghadapi sebarang bencana,” tambahnya.
-PerakToday-

0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.