IPOH: Peranan masjid kini bukan hanya sebagai tempat beribadah tetapi juga sebagai lokasi penyatuan kaum termasuklah antara umat Islam dan bukan Islam.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria, masjid merupakan tempat yang sesuai bagi beribadah, menyebarkan ilmu pengetahuan serta menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat.
“Institusi masjid yang diuruskan oleh jawatankuasa tersendiri perlu mempelbagaikan aktiviti mereka dengan pendekatan nilai ilmu, perpaduan serta penyatuan ummah,” katanya.
Ujarnya lagi, pelbagai pengisian lain seperti riadah juga boleh dijalankan dalam perkarangan masjid selain memberi penekanan kepada aspek kebersihan tandas dan kemudahan lain yang perlu dijaga dan dipelihara sebaik mungkin.
“Jangan sesekali mengunakan masjid sebagai tempat memecahbelahkan perpaduan atau tempat umpat mengeji orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian sejurus selepas menghadiri majlis sambutan tahun Baru Cina 2015 anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Perak (JAipk) Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan Persatuan Cina Muslim Perak di Masjid Muhamadiah, dekat Tasek, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Dakwah JAKIM, Datuk Mohd Ali Mohamed dan Ketua Pegawai MAIPk, Dr. Amiruddin Muhamed.
Tambahnya lagi, program tahunan yang dianjurkan oleh Majlis Cina Muslim itu boleh digunakan sebagai platform buat masyarakat Cina dan umat Islam untuk menjalin kerjasama.
“Ini merupakan landasan yang sesuai kerana perayaan Tahun Baru disambut di Masjid Cina ini,” katanya lagi.
Ia katanya, jelas membuktikan tiada jurang dalam menganjurkan pelbagai program kesenian dan kebudayaan masyarakat Cina di masjid berkenaan.
Sementara itu, menurut Pengerusi Macma, Datuk Dr Fadzley Cheah, pembinaan masjid yang mempunyai elemen seni bina Cina itu membawa mesej bahawa Islam bersifat sejagat.
“Kita tidak mahu ikut cara stereotaip dan pihak jawatankuasa masjid sedang merancang menganjurkan aktiviti Tai Chi di perkarangan masjid bagi mengeratkan hubungan antara umat Islam dan bukan Islam,” katanya.
Masjid katanya, bukan sahaja dijadikan tempat beribadah tetapi juga lokasi untuk berkongsi ilmu dan kebudayaan secara bersama-sama.
-Perak Today-

0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.