KUALA LUMPUR -- Buku Sejarah Melayu, tulisan Bapak Walikota (Datuk Bandar) Batam, Kepulauan Riau Indonesia, Dr Ahmad Dahlan, mampu menjadi jambatan hubungan keserumpunan Melayu di Malaysia dan Indonesia.
Buku dengan 623 halaman itu, yang dilancarkan Pengerusi Yayasan Karyawan Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, menceritakan sejarah kerajaan-kerajaan Melayu meliputi Riau, Lingga, Melaka, Johor dan Pahang.
Setakat ini, buku berkenaan telah dicetak dan dipasarkan sebanyak 2,000 naskhah di Indonesia dan akan memasuki pasaran Malaysia setelah rundingan antara pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan syarikat percetakan buku tersebut iaitu Gramedia di Indonesia, selesai.
Mengulas buku berkenaan, Ahmad Sarji yang juga Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) berkata ia mampu menjadi jambatan hubungan keserumpunan bangsa Melayu di Malaysia dan Indonesia, khasnya di Kepulauan Riau.
Sementara itu, ketika berucap di majlis pelancaran buku berkenaan, Ahmad Sarji menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap usaha sesetengah pihak yang cuba mensabotaj sejarah asal-usul sesuatu bangsa dan budaya.
Beliau berkata antara sejarah yang mahu diubah pihak tertentu di negara ini ialah berkaitan penduduk asal Kuala Lumpur dan taraf orang Melayu sebagai penduduk asal negara ini serta dakwaan Umno bukanlah teraju utama kemerdekaan negara.
Turut hadir pada majlis pelancaran buku berkenaan di Menara DBP ialah Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Awang Sariyan dan Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia, Tan Sri Omar Hashim.
- BERNAMA -

0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.