IPOH: Cadangan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) supaya umur persaraan wajib penjawat awam dilanjutkan kepada 62 tahun berbanding 60 tahun ketika ini mendapat reaksi negatif tidak khususnya golongan muda di Perak.
| Faridatul Husna Wan Zulkifli |
Menurut Wan Faridatul Husna Wan Zulkifli, cadangan tersebut tidak relevan untuk dilaksanakan apatah lagi dengan melihat keadaan dan perkembangan ekonomi negara hari ini.
“Negara masih jauh ketinggalan dan memerlukan ramai tenaga muda untuk menggerakkan negara ke arah yang lebih proaktif,” katanya kepada Peraktoday.com.my.
Tidak dinafikan, berpengalaman diperlukan tetapi adalah lebih baik jika golongan berumur dilantik sebagai mentor atau tulang belakang dalam sesuatu agensi, tambahnya.
“Kita lihat sekarang bilangan graduan semakin meningkat tetapi peluang pekerjaan pula seolah-olah tersekat,” kata beliau lagi.
| Mohd Muzammil Mokhtar |
Sementara itu, bagi pekerja swasta, Mohd Muzammil Mokhtar, cadangan tersebut tidak mengguntungkan dan hanya akan mendatangkan pelbagai masalah.
“Apabila pekerja berkhidmat terlalu lama, ia akan menimbulkan beberapa masalah seperti kekurangan jawatan kosong, graduan makin ramai yang menganggur dan idea orang lama ini juga seolah-olah sudah beku,” katanya.
| Ahmad Assajri Mat Noh |
Ahmad Assajri Mat Noh juga tidak bersetuju dengan cadangan tersebut yang disifatkannya boleh menyebabkan prestasi kerja seseorang individu itu terjejas.
“Bila umur mencecah 62 tahun, tenaga sudah berkurangan sedangkan zaman sekarang memerlukan tenaga kerja yang kuat dan ditambah pula dengan beban kerja yang semakin meningkat,” katanya.
Ujarnya lagi, penambahan had umur itu juga akan menyebabkan pengangguran di kalangan para graduan kerana tiada peluang pekerjaan di sektor awam.
- Perak Today -

0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.