BATU KURAU: “Saya menarik diri daripada menjadi ahli panel Forum Perdana Hal Ehwal Islam anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan mana-mana rancangan siaran langsung di kaca televisyen kecuali yang sudah dirakamkan dan ditandatangani kontrak,” tegas penceramah bebas kelahiran Perak, Datuk Kazim Elias.
Beliau membuat pengumuman itu ketika siaran langsung Forum Perdana Hal Ehwal Islam yang bertempat di Padang Astaka, dekat sini, malam tadi.
“Buat masa ini, saya akan kekal di rancangan ‘Kalau Dah Jodoh’ di saluran Astro kerana sudah menandatangani kontrak dengan pihak tersebut,” ujar beliau lagi.
Ustaz Kazim menegaskan semangatnya luntur apabila pelbagai spekulasi tentang ceramahnya dibangkitkan sejak akhir-akhir ini.
“Saya tidak pernah menetapkan sebarang bayaran untuk berceramah dan semua itu terpulang kepada pihak penganjur.
“Duit hasil ceramah digunakan untuk membangunkan sekolah yang saya wujudkan sebelum ini,” katanya.
“Duit hasil ceramah digunakan untuk membangunkan sekolah yang saya wujudkan sebelum ini,” katanya.
Sebab lain katanya, apabila ada sesetengah pihak melabelkan dirinya sebagai penglipur lara.
“Saya tinggalkan keluarga untuk berdakwah dan apabila saya digelar sebagai penglipur lara, saya rasa sedih,” luah beliau lagi.
Tambahnya, beliau juga berasa yakin ramai penceramah lain akan mempunyai peluang berdakwah di kaca televisyen selepas beliau menarik diri.
“Selepas ini, ceramah saya akan tertumpu di sekolah dan kampung,” ulas beliau lagi.
Mengulas pandangan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang meminta beliau agar tidak berhenti berdakwah, Ustaz Kazim berkata:
“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Dr Zambry kerana memberi peluang kepada saya untuk berceramah di bawah program Menteri Besar dan Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR).
“Aktiviti dakwah saya akan berjalan seperti biasa….. cuma bukan di kaca televisyen,” ulasnya lagi.
- PerakToday -

0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.