IPOH: Buat pertama kalinya, Akademi Pengajian Islam Darul Sufi dengan kerjasama kerajaan negeri dan beberapa badan bukan kerajaan bakal menganjurkan karnival dakwah ‘Aku Ingin Hijrah 2015’ pada 21 dan 22 Mac ini.
Program yang bakal berlangsung di Stadium Indera Mulia dekat sini, itu merupakan program bersifat Islamik yang memberi fokus kepada pembangunan remaja untuk berubah ke arah yang lebih baik.
Menurut Pengarah Urusannya, Azri Suratman Al-Hafiz, program itu akan memberi ruang kepada golongan sasaran untuk melakukan hijrah dan anjakan paradigma agar berubah ke arah yang lebih baik.
“Program ini sedikit banyak dapat mendorong dan menyuntik semangat ke arah yang positif kepada golongan muda untuk berubah,” katanya.
Tambahnya lagi, program itu juga bertujuan memupuk nilai kepimpinan di kalangan generasi muda bagi mengeratkan jalinan intergrasi di kalangan mereka.
“Ia juga dapat menggalakkan tenaga muda supaya berupaya menjadi pemangkin kepada kemajuan sosial belia termasuk ekonomi dan dakwah,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Urusan program, Ahmad Zaidi Baharuddin, menyifatkan program yang dianjurkan itu berbentuk Islamik dengan dakwah ala kontemporari.
“Pelbagai acara disediakan antaranya pameran senjata oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pameran industri kecil dan sederhana (IKS) serta gerai makanan,” katanya.
Tambahnya lagi, pada sebelah malam, solat hajat bersama pemimpin dan selawat Malam Cinta Allah dan Rasul yang dibawakan khas oleh kumpulan Maulid turut dianjurkan kelak.
Katanya lagi, forum perdana yang dianjurkan pada 21 Mac pula berkisar mengenai perbincangan dan penjelasan pelbagai isu berkaitan agama Islam kepada tetamu yang hadir.
Menurut pengarah program, Nadia Ahmad Safii, program tersebut juga bertujuan menyampaikan dakwah dan melatih pelajar tahfiz mengenai tanggungjawab ketika berhadapan dengan komuniti.
“Program ini dapat mengetengahkan mereka cara berkomunikasi dengan masyarakat, organisasi serta mempraktikkan ilmu yang diperolehi,” katanya.
Pelbagai pengisian menarik menanti para pengunjung dari jam 8 pagi sehingga 12 tengah malam seperti pameran kraftangan penjara, memperkenalkan kaedah perubatan Islam, persembahan silat dan misteri Alam Melayu.
- Perak Today -

0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.