Menu

IKLAN



NEW DELHI :  Pelabur dua negeri utama di selatan India, Andra Pradesh dan Tamil Nadu, menunjukkan minat melabur dalam bidang farmaseutikal, bioteknologi dan Teknologi Maklumat (IT) di Perak.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata minat itu disuarakan kepadanya oleh komuniti perniagaan serta pegawai kanan kerajaan kedua-dua negeri berkenaan semasa misi perdagangan empat harinya ke India yang berakhir semalam.

"Pertemuan dan perbincangan itu membuahkan hasil yang sangat baik. Kami menjelaskan secara terperinci mengenai kelebihan melabur di negeri ini (Perak) khususnya dan Malaysia secara umum.

"Mereka sangat responsif terhadap penjelasan kami dan sedang mengenal pasti bidang lain yang boleh kami tawarkan," kata Zambry dalam temu bual menerusi telefon sebelum berlepas pulang lewat petang Selasa.

Delegasi Perak yang tiba di Chennai pada 14 Mac, melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Tamil Nadu, O.Pannerselvam, diikuti mesyuarat bersama 80 ahli perniagaan di sana.

Delegasi Zambry antara lain terdiri daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Perak Datuk Seri SK Devamany, anggota Exco Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid serta Pesuruhjaya Tinggi ke India Datuk Naimun Ashakli Mohammad dan Ketua Pegawai Eksekutif InvestPerak Datuk Muhammad Hafni Ibrahim.

Zamry berkata delegasi itu turut mengunjungi Kerala untuk mendengar taklimat daripada pegawai kerajaan negeri mengenai kejayaan negeri itu mengurus dan menggalakkan pembangunan kawasan air mati sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam sekitar (ekopelancongan) utama di India.

Pada perhentian terakhir di Hydrabad, Andra Pradesh, delegasi berkenaan menemui Ketua Menteri, N Chandrababu Naidu, dan komuniti perniagaan.

"Lawatan ini tidak berakhir di sini kerana para pegawai kami akan membuat tindakan susulan di peringkat pegawai bagi memastikan kemajuan dalam bidang pelaburan bersama negeri-negeri terbabit, selain jalinan hubungan dua hala," kata Zambry.

Mengenai mesyuarat bersama dua ketua menteri itu, beliau turut mempelawa kedua-duanya melawat Perak.

Beliau berkata sepanjang lawatan empat hari ini, anggota delegasi turut mempromosikan Perak sebagai destinasi pelancongan utama dan pelaburan yang berpotensi dalam pelancongan berasaskan alam sekitar.

"Negeri seperti Kerala berpengalaman luas dalam ekopelancongan dan kita benar-benar berminat untuk belajar lebih daripada mereka," kata Zambry.


http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/bu/newsbusiness.php?id=1117949

- BERNAMA -


0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top