Menu

IKLAN


KUALA KANGSAR: Kemelut antara pengusaha dan pemilik tanah Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Tangkas Kendiri, dekat sini belum berakhir ekoran penutupan kem tersebut sejak Mei 2012.
Pihak pengusaha, Tangkas Kendiri Sdn Bhd yang mengusahakan kem itu mendakwa barangan yang terdapat di kem telah hilang hingga mengakibatkan kerugian kepada pihak mereka.
Pengerusinya, Amir Hashim Yot, berkata perkara tersebut menyebabkan pihaknya menanggung bebanan hutang hingga berdepan dengan risiko muflis.
“Sejak kem ditutup pada Mei 2012 sehingga sekarang, kami mengalami kerugian besar kerana pelbagai peralatan sudah tiada termasuklah tilam, almari, kerusi dan kabel elektrik di 23 bangunan.
“Disebabkan itu, kami mengalami masalah yang besar kerana menanggung hutang dengan pihak bank lebih kurang RM1 juta selain bayaran untuk pembekal dianggarkan lebih kurang RM4.5 juta.
“Kami  telah mengambil inisiatif untuk menyelamatkan beberapa perkakas yang ada di kem yang boleh dikeluarkan atau diperbaiki bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Beliau juga berkata, pihaknya terpaksa menanggung hutang yang dianggarkan sebanyak RM300,000 dengan pemilik tanah selepas kem berkenaan ditutup.
Kem berkenaan telah ditutup pada 22 Mei 2012 selepas Mahkamah Tinggi Taiping mengeluarkan perintah menyita peralatan Kem Tangkas Kendiri kerana masalah hutang pemiliknya terhadap pembekal.
Sementara itu, rata-rata pemilik tanah yang ditemui di kawasan kem itu menyuarakan rasa tidak puas hati berikutan masalah berkenaan masih berterusan.
Salah seorang pemilik yang tidak ingin dikenali berkata, beliau tidak akan membenarkan pihak Tangkas Kendiri Sdn Bhd memasuki kawasan kem selagi hutang tersebut tidak dijelaskan.
Ujarnya, selama tiga tahun, pihaknya tidak menerima apa-apa bayaran sewa daripada pihak terbabit.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderoh, Zainun Mat Noor, berkata beliau bersedia untuk membantu dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh kedua-dua pihak.
“Biar pihak mahkamah mengeluarkan keputusan terlebih dahulu berhubung masalah berkenaan berikutan kes itu yang sedang dalam perbicaraan,” katanya.
Beliau juga menasihati agar tiada pihak lain cuba mengeruhkan lagi keadaan sementara menunggu keputusan mahkamah.



0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top