Menu

IKLAN


KARATHU memberi kata semangat pemainnya, Nasir Basharudin pada perlawanan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh, 21 Februari lalu. - Foto Muhaizan Yahya
SIAPA lebih hebat! Hakikat itu harus dibuktikan dua jurulatih - Datuk M Karathu dan George Boateng - apabila Perak berentap dengan Kelantan dalam saingan Liga Super yang menarik dan mendebarkan di Stadium Ipoh, malam ini.
Apa yang pasti, perlawanan itu pasti menjadi tumpuan utama seluruh peminat bola sepak tanah air kerana hanya satu perlawanan sahaja membabitkan pasukan Liga Super.
Lebih seronok, siapa menang akan menjadi pendahulu baharu sekurang-kurangnya untuk tempoh 24 jam.
Melihat kepada barisan pemain, Kelantan ternyata mempunyai kelebihan dengan memiliki lebih ramai p5emain bintang, namun harus diingat Perak antara dua pasukan dalam Liga Super musim ini yang masih mengekalkan rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan.
Apa yang lebih menjadi tumpuan pada pertembungan itu adalah Karathu dan Boateng perlu membuktikan sama ada jurulatih tempatan atau luar negara yang lebih hebat membentuk percaturan dalam mencipta kemenangan buat pasukan mereka.

GEORGE Boateng bersama pemain menjalani latihan di Stadium Sultan Muhammad Ke IV menjelang pertemuan Perak dengan Kelantan dalam saingan Liga Super di Stadium Ipoh, malam ini. - Foto Nik Abdulah Nik Omar
Karathu ada kelebihan
Jika dilihat daripada aspek pengalaman, Karathu memiliki kelebihan berbanding Boateng yang baru sahaja memikul tugas selaku jurulatih bersama Kelantan. Ia adalah pasukan pertama baginya.
Lebih menarik, Karathu yang pernah membimbing Kelantan pada tahun 1993 dan 2011 pasti mengetahui serba sedikit kelebihan dan kekurangan yang dimiliki pasukan dari Pantai Timur itu.
Selain kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri, persiapan skuad Seladang mungkin sedikit terganggu apabila ayam tambatan mereka, Namkung Woong kemungkinan besar tidak dapat diturunkan selepas dibelenggu masalah kecederaan.
Bagi Kelantan pula, ketiadaan pemain kelahiran Korea Selatan yang kini menjadi penjaring terbanyak buat Perak harus digunakan sebaiknya barisan pemain The Red Warriors (TRW) untuk mencipta sesuatu di Ipoh.
Malah, kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi sebelum ini menegaskan betapa Namkung dan seorang lagi pemain import Perak, Charles Souza Chad perlu diberi perhatian sepenuhnya barisan pertahanan TRW sekiranya mahu mencuri tiga mata penuh dari Ipoh.

AKSI pemain import Perak, Charles Souza Chad yang terjatuh selepas diterjah pemain Lions XII pada perlawanan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh, 21 Februari lalu. - Foto Muhaizan Yahya
Rantai Namkung, Souza
"Jika Kelantan mahu mendapatkan keputusan positif, kami perlu merantai setiap inci pergerakan mereka (Namkung dan Souza Chad). Kami juga tidak boleh memandang rendah kemampuan pemain muda Perak kerana apa yang saya perhatikan semangat juang mereka cukup tinggi," kata Badhri.
Kekalahan memalukan di gelanggang sendiri selepas dibelasah pasukan berstatus kelab, PDRM 4-0 21 Februari lalu juga pasti menjadi pembakar semangat utama kepada barisan pemain TRW untuk menebus kekecewaan dan Perak harus lebih berwaspada untuk menyekat kebangkitan TRW.
Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan liga bagi musim 2013 dan 2014, Kelantan dilihat mempunyai kelebihan apabila mencatat dua kemenangan dan satu seri daripada empat perlawanan.
Apa pun, rekod pertemuan sebelum ini tidak menggambarkan persembahan dan keputusan sebenar yang bakal dicipta kedua-dua pasukan itu malam ini.

PEMAIN Kelantan, 'Ben10' atau Mohd Norfarhan Mohamad yang kini bebas daripada kecederaan menjalani latihan di Stadium Sultan Muhammad Ke IV bersama rakan-rakannya sebagai persiapan bertemu Perak dalam aksi Liga Super malam ini. - Foto Nik Abdulah Nik Omar
RAMALAN BH ONLINE
Perak.............. 1 Kelantan.........2
INFO
Rekod Pertemuan Liga Super
2014
Kelantan............. 2 Perak.............1
Perak................... 2 Kelantan.......1
2013
Perak ...................0 Kelantan........1
Kelantan............. 1 Perak.............1
BARISAN KEMUNGKINAN
PERAK
Mohd Zamir Selamat, Mohd Syazwan Roslan, Thiago Junio, Mohd Idris Ahmad, Muhammad Tuah Iskandar, Nasir Basharuddin (kapten), Mohd Fikri Sudin, Hamizul Izaidi Zulkifli, Nurridzuan Abu Hassan, Charles Souza Chad, Marco Tulio Silva
KELANTAN
Khairul Fahmi Che Mat, Norhafiz Zamani Misbah, Mohd Fitri Omar, Jonathan David Mckain, Noor Hazrul Mustapha, Mohd Badhri Radzi (kapten), Wan Zack Haikal Wan Noor, Mohd Fakri Saarani, Mohd Amar Rohidan, Erwin Carillo, Emmanuel Kenmoge
- BH ONLINE



0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top