IPOH: Tempatan Fest Ipoh (TF) 2015 bakal menemui peminat barangan tempatan dan seni di Koloni Karyawan Aman Jaya (P.O.R.T), dekat sini, pada 4 dan 5 April ini.
Menurut Pengurusnya, Zamari Muhyi, penganjuran TF yang sudah masuk kali kedua itu dijangka menghimpunkan 100 jenama tempatan.
Tambahnya lagi, terdapat juga persembahan akustik dan sukan bagi golongan muda seperti skate board.
“Daripada100 jenama yang dipamerkan, sekitar 30 peratus daripadanya adalah produk tempatan dari Perak,” katanya.
Ujarnya lagi, penganjuran TF memberi ruang kepada golongan belia bersama menimba ilmu dan idea bagi melibatkan diri dalam bidang keusahawanan seni kreatif.
Sementara itu, menurut penganjur TF Event, Mohd Nasir Abdul Rashid, program itu juga dianjurkan bagi memberi ruang kepada bakat tempatan yang berkecimpung dalam fesyen, grafik, seni muzik serta pakaian
“Kita telah berjaya membuat jelajah di beberapa lokasi seperti Johor dan Pulau Pinang serta di Ipoh dan sambutan yang diterima sangat baik,” katanya.
Katanya lagi, TF bukan sahaja mengetengahkan pelbagai aspek seni seperti busana sebaliknya juga merupakan satu wacana seni untuk semua.
Bagi salah satu pemilik produk tempatan Perak, Miker Brand, Amzari Zamri pula berkata, penganjuran TF adalah salah satu landasan bagi mempromosikan produk dari Perak.
Sementara itu, bagi pengasas produk SNGT Style, Kamal Suzaidi Ahmad Kamal, TF berjaya menggabungkan pengasas produk tempatan lain dengan menghasilkan kolaborasi gaya “Miker SGNT Power”.
“TF boleh dijadikan sebagai satu langkah buat anak muda kerana ianya bukan hanya mempamerkan jenis pakaian tetapi untuk memotivasikan diri,” katanya.
TF 2015 menyediakan pelbagai barangan dan produk tempatan jenama pakaian, bahan bacaan, aksesori dan perhiasan termasuk juga aktiviti santai seperti bengkel gravity dinding serta tempatan cafe.
Kumpulan Kugiran D’tepi Pantai, Nastia, Pitahati, Grey Sky Morning dan Sog akan turut memeriahkan TF 2015 .
- PERAK TODAY
0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.