MANJUNG, 18 Mac - Kurang dua minggu lagi menjelang 1 April 2015 di mana Cukai Barang dan Perkhidmatan (Goods and Services Tax - GST) bakal dilaksanakan di negara ini. Pelbagai spekulasi dan pandangan masyarakat kedengaran di media massa mahupun media sosial.
Bagi memupuk kesedaran dan memahamkan masyarakat tempatan khususnya golongan belia di sekitar daerah Manjung mengenai cukai baru yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan ini, satu program yang dikenali sebagai Diskusi Orang Muda telah diadakan. Program anjuran bersama oleh Pertubuhan IKRAM Daerah Manjung, Majlis Belia Daerah Manjung dan Pertubuhan Pemuda GEMA Negeri Perak ini telah berlangsung di Pusat Aktiviti Majlis Belia Daerah Manjung.
Diskusi bertajuk GST: Kesedaran Rakyat ini telah menampilkan dua ahli panel yang hebat iaitu En. Mudzaffar Shah bin Khatib selaku Penolong Pengarah Kanan Kastam Lumut, Perak dan Tuan Haji Yahanis bin Yahya yang juga merupakan Yang Dipertua Pertubuhan IKRAM Negeri Perak dan dipengerusikan oleh En. Ahmad Fadzil bin Ahmad Shuhaili yang juga merupakan Ahli Parlimen Belia Malaysia Negeri Perak.
Program ini bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai pelaksanaan GST yang bermula pada 1 April 2015 dan membuka peluang kepada orang ramai untuk berkongsi kebimbangan dan menyelesaikan persoalan yang bersarang di pemikiran mereka mengenai perkara ini.

0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.