Menu

IKLAN

Selepas beberapa minggu 'menghilang' dan berdiam diri daripada memberi sebarang kenyataan berhubung gosip hubungan cinta barunya juga dalam masa sama beberapa kontroversi lain mengaitkan dirinya, akhirnya pelakon dan pelawak popular, Zizan Razak tampil memberi respon.
Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak, 30, yang ditemui pada majlis tayangan perdana filem terbaharu lakonannya, Cicakman 3, di Damansara, malam tadi menyatakan dia berdiam diri kerana memerlukan ruang buat dirinya sendiri dan tertanya apa sebenarnya yang berlaku menyebabkan sejak kebelakangan ini selepas satu persatu dia dihambat kontroversi.
Sementara, dakwaan dia menjalin cinta dengan Naib Presiden GenNext Astro Putri Yasmin Megat Zaharuddin, Zizan menyifatkan gosip itu mengarut dan fitnah.
"Saya diam sebelum ini sebab mahukan sedikit ruang bernafas dan memikirkan apa yang berlaku sebenarnya, sebab saya sendiri tertanya-tanya.
"Bagilah saya bernafas sekejap. Saya juga sebenarnya malas hendak melayan isu yang tidak betul dan mengarut sangat.
"Mengenai isu Anugerah Meletop, saya sebenarna tidak 'lari' dan saya tidak kecewa walaupun saya kalah. Kemenangan pada saya adalah satu bonus dan Kerja adalah kerja manakala sesiapa saja boleh menang.
"Sebenarnya, sejurus saja acara tamat saya masih ada di belakang pentas. Selepas makan, saya terus pulang sebab lagipun saya tidak terlibat dengan sidang media pada malam itu.
"Tentang gosip (cinta), saya rasa kelakar. Saya tidak tahu mana dan apa sebabnya wujudnya cerita itu. Sama seperti mana yang Yasmin nyatakan gosip itu adalah fitnah.
"Sepanjang waktu kerja, Yasmin adalah bos saya dan apabila diluar waktu kerja, dia saya anggap seperti kakak sendiri. Saya tidak rasa yang kemesraan saya dengannya menyebabkan timbulnya gosip ini sebab dia seorang yang ramah dengan semua orang," katanya.
Tambah Zizan dia tidak kecewa dengan gosip tersebut tetapi menganggap ia sebagai satu dugaan buat dirinya sebagai anak seni dan figura umum.
"Saya tidak kecewa. Cuma, semakin saya mahu buat perkara positif, makin banyak pula perkara negatif yang datang.
"Ini dugaan untuk saya dan saya hanya boleh bersabar," katanya yang turut mengakui tetap menjalani rutin kerjanya seperti biasa meskipun namanya terpalit isu panas.  
Dalam pada itu Zizan juga menyatakan bahawa dia telah pun memohon maaf kepada pengarah Mamat Khalid atas ketidakhadirannya pada malam tayangan perdana filem Usop Wilcha Werewolf Dari Bangladesh, baru-baru ini.
Jelasnya, dia sudah bercakap dengan pengarah berkenaan mengenai hal itu dan menganggap ia sudah selesai.
"Saya sudah minta maaf dengan abang Mamat. Saya juga ada berborak dengan beliau tetapi biarlah antara saya dan dia saja yang tahu apa yang kami borakkan.
"Saya mengaku salah dan saya pun telah mendapat teguran daripada pihak pengurusan saya. Insya Allah saya akan jalankan tanggungjawab saya berkaitan promosi bukan saja pada Cicakman 3 tetapi juga pada Werewolf," katanya yang enggan mengulas lanjut alasan tidak hadir tempoh hari.
Ketika diminta mengulas kenyataan Emma Maembong pada minggu lalu yang mengesahkan hubungan cinta mereka benar-benar sudah berakhir, Zizan berkata:
"Untuk isu itu saya rasa saya mahu tutup mulut buat masa ini."
Sementara itu, filem Cicakman 3 akan ditayangkan di pawagam seluruh tanah air mulai 12 Mac 2015.
Selain Zizan, karya arahan gandingan dua pengarah iaitu Yusry Abdu Halim dan Ghaz Abu Bakar turut dijayakan pelakon Lisa Surihani, Bell Ngasri, Fizz Fairuz dan Adam Corrie.
- mD -


0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top