Menu

IKLAN


PASIR MAS - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) merampas pelbagai jenis barangan seludup berjumlah RM38.8 juta bermula awal Januari hingga Ogos tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Wan Husbi Wan Mohd berkata, kejayaan itu hasil penguatkuasaan dilakukan di empat negeri bersempadan dengan Thailand iaitu Kelantan, Perak, Perlis dan Kedah.

“Barangan rampasan itu meliputi rokok, mercun, tembakau dan sebagainya yang didapati bercanggah dengan peraturan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Korban Perdana Sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha di Pondok Haji Ismail Baginda, Kampung Jenerih, di sini, semalam.

Menurut Wan Husbi, walaupun jumlah itu nampak besar, namun UPP tidak boleh selesa dengan kejayaan tersebut.

“Gerak kerja membanteras aktiviti penyeludupan ini perlu dilakukan secara berterusan tanpa mengira waktu sekali gus dapat mengelakkan ia daripada terus berleluasa,” katanya.

Mengulas mengenai program itu, Wan Husbi berkata, ia menjadi platform pihaknya dalam usaha merapatkan hubungan antara anggota UPP dengan masyarakat.

Katanya, secara tidak langsung pihaknya dapat memperoleh maklumat serta memberi penerangan berkaitan kesalahan melibatkan aktiviti penyeludupan.

“Bukan itu saja, UPP juga dapat beri penerangan berkaitan bidang tugas kepada masyarakat,” katanya.

Pada majlis itu, sebanyak tiga ekor lembu serta seekor kerbau dikorbankan dan diagihkan kepada anggota serta penduduk di kawasan berkenaan.

-Sinar Harian

0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top