'Laugh Die You II- The Mob' satukan M'sia, S'pura
JIKA bola sepak selalu dikaitkan sebagai sukan yang mampu menyatukan masyarakat, nampaknya persembahan komedi seperti 'Laugh Die You II- The Mob' malam semalam juga boleh memberi impak sama.
Hal ini dibuktikan apabila persembahan komedi yang menggabungkan pelawak Malaysia dan Singapura di pentas Pusat Konvensyen HGH di sini berjaya mengumpulkan kira-kira 2,000 penonton dari dua negara berjiran untuk duduk dan ketawa bersama di bawah satu bumbung.
Dihoskan oleh pelawak terkenal Singapura, Gurmit Singh yang lebih dikenali sebagai Phua Chu Kang, 'Laugh Die You II- The Mob' Malaysia diwakili pelawak terkemuka Harith Iskandar dan Kavin Jay manakala Singapura menampilkan Jonathan Artherton dan Fakkah Fuzz.
Ternyata, persembahan dua jam setengah yang 'menggeletek' penonton tanpa henti itu sarat dengan mesej positif berlatarkan isu yang begitu dekat dengan masyarakat di kedua-dua negara ini.
Walaupun disampaikan dengan cara agak 'kasar', keempat-empat pelawak berjaya menyampaikan mesej mendalam secara santai dan menghiburkan.
"Tak kira apa warna kulit anda (penonton) di bawah sana kita adalah satu bangsa dan kita boleh duduk dan ketawa bersama-sama malam ini tanpa masalah," kata Harith Iskandar semasa persembahannya.
Persoalan pelawak negara mana lebih kelakar menjadi 'teaser' sebelum ini nampaknya tidak terjawab kerana apa yang pasti, antara faktor penyumbang yang menjadi rencah jenaka persembahan adalah kerana persamaan karekter dua negara serumpun itu sendiri.
"Malaysia dan Singapura seperti abang dan adik, kami tidak bermusuhan tetapi kami sebenarnya sebuah keluarga...pesanan saya malam ini marilah kita hidup bersama-sama," kata Fakkah Fuzz.
'Laugh Die You' adalah terjemahan harfiah daripada frasa Kantonis 'siu sei lei' yang bermaksud 'ketawa sampai mati' dan persembahan komedi selama dua hari sehingga malam ini dijangka menarik 4,000 penonton.
Persembahan anjuran Popcorn Studio Sdn Bhd ini adalah sambungan 'pertarungan' antara pelawak hebat dari kedua-dua negara pada siri pertama Mei lalu.
- Bernama

0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.