Menu

IKLAN


SUBANG - Sindiket prebet sapu dikesan aktif 'merampas' penumpang bagi mengaut untung dengan lebih cepat dan mudah.

Prebet sapu ini akan datang ke lokasi-lokasi tumpuan seperti hentian teksi dan pusat beli-belah di sekitar ibu kota.

Mereka kebiasaannya akan mempengaruhi penumpang atau pengunjung dengan tawaran harga yang lebih murah.

Pengurus Besar Bahagian Penguatkuasaan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, kaedah yang digunakan prebet sapu ini secara tidak langsung membuatkan  penumpang terpedaya dengan tawaran yang diberikan.

Menurutnya, pihak SPAD menasihatkan orang awam supaya menilai semula karakter pemandu prebet-prebet sapu ini.

“Ini penting sekiranya berlaku insiden-insiden tidak diingini seperti jenayah dan kemalangan.

“Mereka beroperasi tanpa lesen, jadi, kita tidak mempunyai rekod mereka. Ini menyukarkan kita untuk membuat siasatan,” katanya kepada pemberita di bangunan Persada Plus, di sini, selepas selesai Ops Revus Tegas, kelmarin.

Mengulas lanjut berkenaan operasi tersebut, beliau berkata, operasi bermula jam 2 petang yang membabitkan tiga pegawai dan 33 anggota bertujuan bagi membanteras kenderaan yang digunakan sebagai pengangkutan awam tanpa lesen serta teksi yang gagal menggunakan meter.

Katanya lagi, operasi selama tiga jam ini memfokuskan kawasan tumpuan seperti Petaling Jaya, Sunway, Pudu, Bangsar, Sungai Besi, Sepang dan sekitar Kuala Lumpur.

“Hasilnya, sebanyak 17 kes dicatatkan membabitkan sembilan kes prebet sapu dan selebihnya adalah teksi yang tidak menggunakan meter.

“Sebanyak 17 kenderaan antaranya Perodua Myvi, Proton Saga, Proton Perdana, Toyota Rush, Honda Accord, Nissan Serena dan Nissan Sylphy telah disita termasuklah teksi,” katanya.

Tambahnya, individu ini akan didakwa mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat yang boleh dikenakan tindakan denda dan penjara.

Che Hasni berkata, orang ramai digalakkan untuk menyalurkan maklumat bagi membantu pihak SPAD membanteras aktiviti ini dari terus berleluasa.

-Sinar Harian


0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top