IPOH: Orang ramai disaran supaya mengambil perhatian mengenai isu kesihatan mental yang boleh diubati segera menerusi saluran yang betul.
Menurut ADUN Hulu kinta, Datuk Aminuddin Hanafiah, orang ramai yang mempunyai ahli keluarga yang menghidapi masalah kemurungan ataupun masalah mental juga dinasihatkan untuk membawa mereka ke klinik-klinik berdekatan kerana mencegah itu adalah lebih baik dari mengubat.
“Kita tidak boleh menghalang stigma apabila seseorang inividu itu disahkan menghadapi masalah penyakit mental malah hospital mental sendiri juga berhadapan dengan masalah bagi menghantar semula pesakit yang telah sihat kepada keluarga,” katanya dalam satu sidang media sejurus merasmikan Karnival promosi Kesihatan Mental di Mydin Meru Raya di sini hari ini.
Beliau yang hadir bagi mewakili Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah turut menyarankan supaya masyarakat perlu lebih perihatin membantu pemulihan pesakit mental dan tidak hanya menyerahkan tugas berkenaan kepada satu pihak semata seperti Jabatan kesihatan dan Hospital Bahagia.
Turut hadir sama Pengarah Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr. Rabai’ah Mohd Salleh.
Ujarnya lagi, peranan utama adalah perlu memahami isu masalah penyakit mental daripada perspektif yang betul malah program kesedaran dicadangkan juga melibatkan penyertaan pada peringkat lebih muda iaitu golongan kanak-kanak.
“Sekarang ini tekanan mula dirasai di peringkat awal malah belasan tahun mulai merasa tekanan dengan sistem persekolahan, harapan tinggi ibu bapa.
“Pihak penganjur boleh turun ke peringkat sekolah memberi ceramah bagi mendedahkan pelajar mengenai pelbagai penyakit,” katanya.
Tambahnya lagi, segelintir kanak-kanak enggan dan malu untuk berkongsi masalah dengan keluarga sehingga mengakibatkan mereka mengambil keputusan mudah dengan membunuh diri.
Sementara itu menurut Pengarah Jabatan kesihatan negeri Datuk Dr. Juita Ghazalie, orang ramai yang malu untuk mendapatkan rawatan dan khidmat nasihat di hospital boleh juga mendapatkannya di Pusat Komuniti Kesihatan Mental setiap kawasan.
“Klinik kesihatan kini mempunyai pakar kesihatan keluarga dan di Perak sendiri terdapat 20 pakar kesihatan keluarga seluruh daerah yang turut membantu 82 klinik kesihatan seluruh negeri,” katanya.
Ujarnya lagi, bagi klinik kesihatan yang tidak mempunyai pakar psikiatri lawatan akan dilakukan oleh pakar terpilih untuk memantau.
Orang ramai dan pesakit juga boleh mendapatkan rawatan di klinik kesihatan terdekat dan tidak hanya perlu pergi ke hospital Bahagia.
Setakat ini juga terdapat 6 hospital menempatkan pakar psikiatri.
Karnival ini melibatkan penyertaan 20 agensi daripada Jabatan Kerajaan dan Badan Bukan kerajaan (NGO) yang berlangsung selama sehari bermula pada 8 pagi sehingga 5 petang ini sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2015.

0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.