SELAMA: Seorang lelaki maut dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Selama-Sungai Puteh dekat Kampung Banggol Jas di sini, awal pagi tadi.
Mangsa, Hisyam Abdul Rahim, 25, disahkan maut ditempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah apabila motorsikal yang ditungganginya melanggar seekor kerbau yang melintas di jalan berkenaan kira-kira jam 1.02 pagi.
Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Loo Lian Lay berkata, mangsa pada ketika itu dalam perjalanan dari Sungai Bayor ke Selama.
“Setibanya ditempat kejadian, dipercayai mangsa telah melanggar kerbau yang melintas di jalan tersebut.
“Mangsa kemudiannya telah jatuh dan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala kerana dipercayai tidak memakai topi keledar,” katanya.
Ujar beliau lagi, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Selama dan hasil bedah siasat mendapati, punca kematian adalah disebabkan kecederaan parah di bahagian kepala.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan tiada tangkapan dibuat,” tegasnya.
Beliau turut menasihati orang ramai yang mempunyai binatang peliharaan supaya jangan membiarkan ternakan mereka berkeliaran diatas jalan raya sehingga menyebabkan bahaya pada pengguna jalan raya.
“Saya harap pemilik lembu dapat menjaga ternakan mereka dan tidak membiarkan haiwan ternakan berkeliaran di jalan kerana membahayakan nyawa pengguna terutama ketika musim hujan,”katanya.

0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.