Menu

IKLAN


KUALA NERUS – Aktif dalam aktiviti ko-kurikulum serta kegiatan luar bukan halangan bagi seseorang pelajar turut cemerlang dalam akademik dan ia dibuktikan oleh dua pelajar Universiti Sultan Zainal Abdidin (Unisza), semalam.

Ju Ariana Ibrahim, 24, graduan Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi Pertanian dan Loh Sook Fun, 24, graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, menerima Anugerah Pelajaran Diraja sempena Majlis Konvokesyen ke-7 Unisza daripada Canselor Unisza yang juga Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Ju Ariana berkata, bijak membahagikan masa di samping belajar bersungguh-sungguh merupakan kunci kejayaannya dan anak bongsu daripada lapan beradik itu mengakui, dia bukan dari kategori pelajar sedia pandai atau genius.

"Saya sentiasa mengingatkan diri untuk belajar bersungguh-sungguh dengan harapan mampu menjadi motivasi kepada orang lain. Alhamdulillah, segala usaha gigih membuahkan hasil.

"Kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa sokongan serta dorongan kuat daripada keluarga terutamanya ibu bapa saya serta rakan-rakan lain. Insya-ALLAH selepas ini saya rancang untuk sambung pelajaran ke peringkat seterusnya," katanya ketika ditemui di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, di sini.

Menurut anak kelahiran Klang, Selangor serta penerima Anugerah Pemimpin Harapan dan Anugerah Menteri Pendidikan 2014 itu, dia sentiasa percaya ilmu tidak akan pernah cukup dan setiap individu perlu berusaha menambahnya, serta berpegang kepada prinsip 'manusia yang baik adalah manusia yang banyak memberi kepada orang lain'.

Tambahnya, minat menebal dalam aktiviti kesukarelawanan mendorongnya terlibat secara langsung dengan misi sukarela peringkat antarabangsa di beberapa negara antaranya Vietnam, Laos dan Filipina.

"Saya turut terlibat dengan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) untuk program pembangunan komuniti melibatkan pelarian Rohingya di Malaysia, kanak-kanak HIV/AIDS, anak yatim dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, Sook Fun yang merupakan anak sulung kepada empat beradik berkata, telah menjadi tanggungjawabnya memberi contoh kepada adik-adik untuk berjaya dan sentiasa fokus dalam kelas serta banyak membaca adalah antara perkara ditekankan untuk cemerlang.

Katanya, bidang undang-undang yang diceburinya itu sendiri memerlukan dia banyak membaca dan Sook Fun berharap, kecemerlangannya itu mampu memberi perangsang kepada adik-adiknya.

"Dalam masa sama, saya harap kejayaan ini dapat mendidik diri saya untuk sentiasa tekun melakukan sebarang perkara," katanya yang menerima anugerah dekan pada setiap semester di samping pelbagai anugerah lain di peringkat fakulti.

Tambahnya, selain akademik, dia turut memberi tumpuan kepada aktiviti luar seperti berpersatuan dan sukan yang mana badminton serta tenis menjadi pilihan, selain bergiat aktif dalam program debat serta kegiatan kesukarelawanan di peringkat fakulti dan antarabangsa.

-Sinar Harian


0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top