Menu

IKLAN


WALAUPUN bukan pilihan, Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen yakin skuad remaja negara dapat melakukan sesuatu di Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Peru bermula Rabu ini andai beraksi melebihi tahap kemampuan masing-masing.

Frost berkata, beliau sentiasa percaya kepada keajaiban jika pemain turun dengan berbekalkan semangat berpasukan dan saingan luar biasa.

"Saya harap, pemain yang akan beraksi nanti akan memiliki semangat yang tinggi.

"Walaupun kita tidak sehebat China atau Indonesia tetapi kita boleh melakar kejutan," katanya.

Dalam pada itu, Frost turut berharap skuad remaja kali ini akan memberi kerjasama dan sokongan kepada pasukan serta tidak mudah patah semangat.

“Saya mahu pasukan buat yang terbaik, lawan habis-habisan dan jangan mudah mengalah," jelasnya.

Pemain perseorangan lelaki yang akan beraksi di kejohanan ini ialah Yeoh Seng Zoe, R Satheistharan Lee Zii Jia dan Cheam June Wei, manakala perseorangan wanita Goh Jin Wei, M Thinaah, Lee Ying Ying dan Ng Qi Xuan.

Beregu lelaki pula akan dipikul Tan Jinn Hwa-Goh Sze Fei dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, manakala beregu wanita Teoh Mei Xing-Anna Cheong dan Thinaah-Qi Xuan.

Sze Fei-Mei Xing dan Wooi Yik-Anna akan turut membawa cabaran acara beregu campuran, manakala jurulatih yang akan mengiringi skuad ini Kwan Yoke Meng, Rony Agustinus dan Lim Pek Siah.

Untuk rekod, skuad remaja gagal memenangi sebarang gelaran tiga edisi lalu - di Chiba, Jepun (2012), Bangkok, Thailand (2013) dan Alor Setar, Malaysia (2014).

Kali terakhir Malaysia muncul juara menerusi acara perseorangan lelaki, Zulfadli Zulkiffli dan beregu lelaki, Nelson Heg Wei Keat-Teo Ee Yi pada tahun 2011 di Taiwan.


Pemain sahut cabaran

Mengulas mengenai persiapan skuad remaja, legenda Denmark itu berpuas hati dengan persiapan keseluruhan pasukan ke kejohanan itu dan menjangkakan prestasi yang lebih baik dari pemain Malaysia di Peru nanti.

“Saya amat gembira dengan prestasi pemain sebelum mereka berlepas ke Peru.

"Apa yang saya lihat, semangat mereka tinggi dan sudah bersedia untuk turun ke gelanggang. Jadi, saya berharap mereka akan pulang dengan keputusan yang baik dan membanggakan." katanya.

Ketika ditanya harapan tinggi yang disandarkan kepada Goh Jin Wei dan Cheam Jun Wei pada kejohanan itu, Frost berkata, beliau yakin dengan kemampuan kedua-dua pemain itu.

"Kita sudah tentu mengharapkan Jin Wei dan Jun Wei menyerlah, apa pun saya percaya perseorangan lelaki dan wanita mempunyai peluang yang baik di Peru," katanya.

Bagaimanapun Frost berkata, beliau tidak mahu memberi tekanan kepada barisan pemain remaja dengan meletakkan sasaran terlalu tinggi.

"Apa yang saya mahu aksi terbaik mereka. Kita pun kena akui pasukan seperti China, Thailand, Indonesia pasti memberi saingan malah undian juga sukar.

"Disebabkan itu BAM hanya sasar dua pingat gangsa. Cuma saya mahu pemain ambil cabaran ini dan bukti kemampuan.

"Saya yakin kita mampu raih keputusan baik jika main sedaya upaya." katanya lagi.

Senarai pemain

PERSEORANGAN LELAKI

• Yeoh Seng Zoe
• Satheistharan
• Lee Zii Jia
• Cheam June Wei

PERSEORANGAN WANITA
• Goh Jin Wei
• Thinaah
• Lee Ying Ying
• Ng Qi Xuan

BEREGU LELAKI
• Tan Jinn Hwa-Goh Sze Fei
• Aaron Chia-Soh Wooi Yik

BEREGU WANITA
• Teoh Mei Xing-Anna Cheong
• M Thinaah-Ng Qi Xuan

BEREGU CAMPURAN
• Goh Sze Fei-Teoh Mei Xing
• Soh Wooi Yik-Anna Cheong

-Sinar Harian

0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top