Menu

IKLAN


TANAH MERAH - Seramai 20 pesalah dadah termasuk dua remaja bawah umur ditahan dalam operasi bersepadu oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, Sabtu lalu.

Kesemua mereka ditahan dalam Operasi Gempur 2015 selama 17 jam di beberapa lokasi di daerah ini termasuk di Felda Kemahang yang bermula jam 3 petang Jumaat dan berakhir pada jam 8 pagi Sabtu.

Ketua Pegawai AADK daerah ini, Yaacob Mohd Daud berkata, tangkapan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah itu dibuat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Dalam operasi dua hari ini, seramai 30 orang diperiksa dan dibuat saringan awal air kencing. Daripada jumlah itu, seramai 20 ditahan kerana positif dadah,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, dua yang ditahan berusia bawah 18 tahun, manakala 12 orang berusia 21 hingga 40 tahun dan enam orang lagi berusia 41 hingga 50 tahun, kesemuanya lelaki.

“Hasil saringan awal air kencing ke atas 20 orang yang ditahan, 18 orang positif dadah jenis methamphetamine, sementara dua lagi positif dadah jenis morfin,” katanya.

Yaacob memberitahu, seramai sembilan orang yang ditahan diletakkan di bawah pengawasan secara sukarela mengikut Seksyen 8(3)(a), Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Katanya, seramai lima orang dihantar ke Klinik Pulih dan Prihatin (C&C) Jerantut, Pahang, tiga orang di Pusat Rawatan dan Pemulihan (CCRC) Jeli dan seorang lagi dihantar ke C&C Kota Bharu.

“Lima lagi tahanan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 termasuk seorang diserahkan kepada AADK Pasir Mas kerana gagal hadir kes jamin, manakala dua lagi disiasat mengikut Seksyen 8(3)(b) akta sama,” jelasnya.

Tambah beliau, baki empat lagi tahanan diserah kepada polis untuk siasatan lanjut iaitu tiga orang mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan seorang di bawah Seksyen 15(1) akta sama.

-Sinar Harian

0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top