Menu

IKLAN

CYBERJAYA - Usahawan muda di negara ini perlu membentuk jaringan sesama mereka supaya dapat meluaskan peluang perniagaan dan membantu   meningkatkan pencapaian dalam bidang tersebut.  

Presiden Majlis Belia Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, jaringan itu akan mewujudkan ruang dan peluang untuk golongan belia melebarkan penerokaan dalam bidang keusahawanan khususnya bidang berkaitan dengan inovasi.

Katanya, langkah ini amat perlu kerana ia merupakan kerjaya yang berpotensi menjamin masa depan mereka, di samping meniupkan semangat  memantapkan kemahiran golongan itu.

"Generasi muda di Malaysia harus merebut peluang sebegini memandangkan usahawan muda di kalangan negara-negara Komanwel meningkat, di samping menyahut hasrat kerajaan melahirkan lebih ramai belia menceburi mobiliti ekonomi.

"Ini adalah selaras dengan kepimpinan negara menjadi  pengerusi Asean 2015 yang memperkenalkan Komuniti Ekonomi Asean," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan Kemuncak  Perikatan Usahawan Muda Komanwel-Asia (CAYE-Asia), di sini hari ini.  

Dalam pada itu, Irmohizam, yang juga merupakan exco 1Malaysia for Youth (IM4U) berkata persidangan kemuncak keempat ini sudah pasti akan memperkukuhkan lagi jaringan keusahawan di samping menjadi platform mewujudkan usahawan modal peranan di kalangan generasi muda di negara  ini.  

Terdahulu dalam ucapan perasmian beliau memuji tumpuan CAYE-Asia berkongsi amalan terbaik di kalangan 200 usahawan muda dan dinamik dari  negara-negara Komanwel bagi melahirkan impak signifikan di rantau Asia melalui penciptaan peluang pekerjaan.

"Saya tertarik apabila mengetahui CAYE-Asia mempunyai peluang untuk mempengaruhi polisi melalui komunikasi bagi mencipta impak terhadap  ekosistem keusahawanan belia dengan berkongsi dan bertukar pandangan dengan rakan usahawan," katanya.

CAYE-Asia ditubuh pada November 2011 terdiri daripada pertubuhan dari lapan negara Komanwel Asia dan pada tahun ini keanggotaan pertubunhan itu  meningkat dengan penyertaan Nepal sebagai pemerhati.

Forum tiga bertemakan Impact Entrepreneur: From Job Hunters, To Job Providers berakhir hari ini.

- Bernama

0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top