SELAMA: Polis berjaya menahan seorang lelaki kerana disyaki memiliki dadah jenis heroin di Rantau Panjang, di sini pada awal pagi tadi.
Penahanan itu dibuat dalam satu Ops Tapis yang dilakukan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSNJD) Selama, Perak kira-kira jam 1.40 pagi tadi.
Pegawai Penyiasat BSJND Selama, Inspektor Rozanna Rasiman berkata, suspek yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 125 Z ditahan di hadapan sebuah rumah di Kampung Tanjung Lekong, di sini.
“Hasil pemeriksaan tubuh badan suspek mendapati beg berwarna biru yang dibawanya mengandungi sebuah bungkusan plastik lutsinar.
“Plastik lutsinar yang bertulis ‘Excellent collection of life home’ itu dipercayai berisi ketulan dan serbuk disyaki dadah heroin yang dianggarkan seberat 109 gram”, ujarnya.
Tambah beliau lagi, suspek berkenaan telah dibawa ke Pejabat BSJND IPD Selama bersama-sama dengan barang rampasan untuk tindakan lanjut.
“Suspek berumur 29 tahun berasal dari Kampung Tapah, Sungai Bayor dan hasil siasatan awal mendapati bekalan dadah itu diperolehi dari kawasan Gunung Bongsu, Mahang, Kedah.
“Berdasarkan laporan daripada Balai Polis Sungai Bayor, motosikal yang ditunggang suspek juga adalah motosikal curi,” tegasnya.
Kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.