Menu

IKLAN

IPOH – Seramai 549 daripada 11,046 calon bagi peperiksaan Sijil Rendah Agama Islam (SRAI) tahun ini, dilaporkan tidak menghadirkan diri pada hari peperiksaan berlangsung.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata, keadaan itu sesuatu yang perlu dipandang serius dalam usaha memperkukuh sekolah aliran agama di negeri ini.

Menurutnya, ibu bapa perlu terus  mempercayai sistem pendidikan Sekolah Agama Rakyat negeri yang dijadikan satu momentum pendidikan selain Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) di tahun lima.

“Yang hadir menduduki peperiksaan adalah sebanyak 10,497 pelajar dan kita dapati  549 calon gagal menghadirkan diri pada hari peperiksaan berlangsung, hal ini perlu diambil perhatian serius semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media pengumuman  keputusan SRAI 2015, di sini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk), Datuk Mohd Yusop Husin.

Mohd Nizar berkata,  beliau akan memastikan peperiksaan SRAI berada pada kualiti terbaik dan menjadi penanda aras kepada pelajar untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih baik.  

Katanya, seramai 1,185 murid yang menduduki peperiksaan SRAI 2015 memperoleh keputusan 5A dalam subjek Akhlak dan Sirah, al-Quran dan Tajwid, Tulisan Jawi dan Khat serta Tauhid dan Feqah.

“Jumlah itu mencatat peningkatan sebanyak 11.27 peratus berbanding pada tahun lepas iaitu seramai 658 pelajar dengan peratusan sebanyak 6.33 peratus.

“Manakala pelajar mendapat keputusan 4A pula, seramai 1,685 orang dengan jumlah peratusannya sebanyak 16 peratus,” katanya.

-Sinar Harian


0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top