Menu

IKLAN



IPOH: Tindakan yang diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap peniaga-peniaga rokok eletronik (e-rokok) atau vape telah mengundang pelbagai reaksi masyarakat, terutamanya golongan muda yang merupakan antara pengguna terbesar rokok eletronik tersebut.

Tinjauan Perak Silver Youth di sekitar bandaraya ini dan menghubungi beberapa golongan muda ternyata rata-ratanya tindakan itu mengundang rasa tidak selesa dalam kalangan pengguna vape.

Anak muda yang hanya mahu dikenali sebagai Boni berkata, penggunaan rokok eletronik itu mempunyai kebaikan dan keburukannya tersendiri.

“Vape pun ada juga bahayanya tetapi ianya tidaklah semudarat rokok yang kita sedia maklum mempunyai beribu bahan kimia yang beracun.

“Sedangkan vape pula bahayanya mungkin 1 nisbah 10,000 berbanding rokok.  Jadi kat sini kita boleh nampak kebaikannya bahawa vape boleh menjadi alat untuk membantu seseorang mengurangkan tabiat merokok,”katanya ketika dihubungi.

Menurut jejaka berusia 30 tahun itu lagi, beliau turut mengakui bahawa dirinya seorang perokok tegar yang boleh menghabiskan dua kotak rokok sehari.
Tetapi selepas mencuba rokok eletronik, beliau mengakui mampu  menghentikan tabiat merokok.

“Kita tahu ramai perokok susah untuk berhenti merokok, kalau ada pun tak ramai.

 "Jadi dengan vape ini, ianya dapat membantu mengurangkan ketagihan merokok.

“Tetapi ada kalangan penghisap vape tidak menghormati masyarakat sekeliling. Itu antara isu yang sering dimainkan. Kalau nak hisap vape di tempat awam, carilah tempat tersorok atau tidak ramai orang,”katanya.

Mengulas mengenai tindakan KKM semalam, beliau turut mempertikaikan penjualan rokok yang tidak diharamkan.

“Kalau mereka (KKM) mengharamkan penjualan perasa yang bernikotin itu, kenapa dalam masa yang sama jualan rokok tidak diharamkan?

“Kalau nak mengharamkan penjualan vape, haramkan sekali penjualan rokok. Kenapa perlu ada sikap double standard?”soalnya.

Seorang lagi remaja, Mohd Faez Mohd Fozi 24, berkata, beliau turut mengakui vape merupakan alternatif yang paling berkesan untuk menghentikan tabiat merokok.

“Bila harga rokok naik Rabu lepas, saya terus terfikir sama ada nak menghisap vape atau teruskan merokok.

“Bagi saya, vape merupakan alternatif, kepada rokok. Boleh dikatakan, majoriti yang hisap vape ni nak berhenti merokok. Hanya segelintir sahaja yang hisap vape tapi tak merokok,”katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan boleh mengutip cukai dan ‘menghalalkan’ vape.
Sementara itu, tinjauan wartawan Perak Silver Youth di sekitar Bandaraya Ipoh turut mendapat reaksi yang serupa dalam kalangan remaja.


Pelajar Politeknik Sultan Idris Shah (PSAS), Amirul Abd Latif berpendapat, rokok eletronik merupakan langkah yang terbaik untuk berhenti merokok.


“Contoh yang paling dekat dengan saya ialah ayah. Ayah saya sudah lebih 30 tahun menghisap rokok. Ayah cuma ambil masa dalam empat bulan untuk berhenti merokok selepas mencuba vape.

“Tetapi tindakan KKM semalam, ianya tidak wajar sebab masih tiada keputusan yang muktamad daripada kerajaan,”katanya.

Seorang lagi remaja, Muhammad Shahril Shaharudin turut mempersoalkan tindakan KKM yang menyerbu kedai vape di beberapa buah negeri.

“Tindakan KKM yang menyerbu dan merampas saya rasa tak wajar. Saya rasa KKM perlu buat kajianterlebih dahulu sebelum membuat serbuan sebab perkara ini pun belum pasti lagi,”katanya.

Mengulas lanjut, penggunaan rokok eletronik juga dikatakan lebih jimat berbanding rokok.

“Dari segi kos, boleh dikatakan vape ini lebih jimat. Kalau rokok, mungkin ada yang boleh habiskan sekotak rokok dalam satu hari. Kalau sebulan dah berapa ratus dah. Tambahan pula dengan harga rokok yang naik baru-baru ini.

“Kalau vape, modal besar dalam RM250 hanya dikeluarkan sekali sahaja. Cuma perlu beli flavor (perasa) sahaja. Satu botol flavor boleh tahan dalam seminggu. Dari situ dah jimat,”jelasnya.



Pelajar PSAS, Hilmi Abd Razak 18,  berkata, bau asap yang terhasil daripada vape tidaklah ‘sekeras’ bau asap rokok.

“Macam saya ada penyakit asma, kalau ada kawan-kawan yang datang ke bilik di PSAS dan menghisap vape, saya tak rasa sesak nafas macam rokok.

“Kalau asap rokok, saya memang tidak boleh. Rasa sesak nafas, tetapi kalau vape, saya masih boleh rasa selesa walaupun semasa melepak dengan kawan-kawan,”katanya.


0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top