IPOH: Pasukan Ipoh Timur bakal menentang pasukan Sungai Siput akan berentap bagi merebut Perisai Menteri Besar Perak dalam Liga Perak Amanjaya yang akan berlangsung pada 7 November ini, jam 9 malam di Stadium Perak.
Pengerusi Jawatankuasa Belia Dan Sukan, Datuk Shahrul Zaman Yahaya berkata, kedua-dua pasukan ini telah berjaya mara ke peringkat akhir selepas menewaskan pasukan lain.
“Saya ingin mengucapkan tahniah pada kedua-dua pasukan ini yang telah berjaya mengharungi Liga Perak Amanjaya yang telah bermula kira-kira sebulan setengah yang lepas.
“Liga Perak Amanjaya ini diadakan diantara semua 24 kawasan-kawasan Parlimen di negeri ini,”katanya dalam sidang media yang diadakan selepas separuh masa pertama dalam perlawanan pasukan Perak menentang Johor Darul Takzim (JDT), di Stadium Perak, malam tadi.
Tambahnya lagi, beliau turut merasa gembira apabila melihat mutu permainan dalam kalangan pemain semakin meningkat setiap tahun.
“Kita mempunyai begitu ramai bakat-bakat muda diseluruh negri Perak dan liga ini telah menjadi satu platform untuk mencungkil bakat-bakat baru yang boleh kita ketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.
“Kita akan teruskan Liga Perak Amanjaya ini ke tahun-tahun akan datang dan ianya akan menjadi salah satu inisiatif kita untuk mencari bakat-bakat muda,”katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengajak agar peminat-peminat bola sepak di negeri ini dapat turun beramai-ramai untuk menyaksikan bakat-bakat muda dalam sukan bola sepak beraksi.
Sementara itu, sebelum perlawanan akhir Liga Perak Amanjaya berlangsung pada jam 9 malam, penonton akan dapat menyaksikan perlawanan di antara pasukan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menentang pasukan Media Prima.
“Menteri Besar sendiri akan bermain dan apa yang saya dimaklumkan, pasukannya juga akan turut dibintangi oleh bintang lagenda bola sepak Negeri Perak.
“Perlawanan persahabatan itu akan bermula pada jam 7.30 malam di Stadium Perak,”katanya.


0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.