Menu

IKLAN


MENYAHUT cabaran Malaysia Boleh! penuntut Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM), diketuai Muhammad Nur Ariff Muhamad Ali menyerlahkan bakat dengan mencipta kenderaan jimat tenaga sebagai tiket meraih juara dalam pertandingan SEMA2016. Pertandingan itu dijadualkan berlangsung awal Mac, tahun depan di Luneta Park, Manila, Filipina.  

Menurutnya, rekaan itu mengimplikasi inovasi menggunakan kuasa bahan bakar mesra alam bagi menggantikan penggunaan tenaga sedia ada seperti petrol, penyebab utama kepada punca pencemaran alam dan sumber terhad.

“Ia satu usaha mencabar kerana prototaip ini akan dipertandingkan di SEMA2016 atau Shell Eco-Marathon Asia 2016, sebuah pertandingan disertai pelajar dari seluruh Asia, Timur Tengah dan Afrika. Pemenang dikira berdasarkan jarak kenderaan bagi setiap liter penggunaan bahan bakar alternatif bukan daripada aspek kelajuan. UM akan menghantar dua pasukan bagi kategori Prototaip Ethanol (eco swinger) dan Prototaip Hidrogen (eco voyager),” katanya.

Jelas Ariff, pasukannya akan bertanding dalam katogeri Prototaip Ethanol. Dari segi spesifikasi, prototaip ini direka menggunakan aluminium. Bahan ini paling banyak digunakan untuk membina casis. Ia cukup kuat untuk menyokong berat badan kereta dan juga pemandu. Selain dari itu, satu lagi kelebihan bahan ini, ia tahan haba, tahan lasak, mudah diurus terutama dalam proses drilling dan welding.

“Satu lagi bahan yang digunakan dalam badan kenderaan prototaip etanol adalah gentian kaca. Bahan ini digunakan untuk badan kenderaan tersebut kerana sifatnya yang kuat dan keras.

“Atas rasa prihatin dengan keselamatan pemandu dan jangka hayat kenderaan, cermin depan kenderaan itu, kami guna polikarbonat iaitu material yang sangat ringan,” katanya.

Dari sudut enjinnya pula, kumpulan ini menggunakan Honda GX35, iaitu enjin mesin pemotong rumput berkapasiti 35cc. Enjin ini dipilih kerana ia enjin 4-stroke berkapasiti kecil yang mudah didapati di pasaran.

“Enjin 4-stroke lebih jimat minyak berbanding 2-stroke kerana pembakarannya lebih bersih. Oleh itu, GX35 sangat jimat minyak walaupun tanpa sebarang modifikasi. GX35 asalnya disyorkan beroperasi menggunakan minimum petrol RON91 dan Honda juga mengesyorkan penggunaan E10 iaitu 90 peratus petrol dan 10 peratus ethanol.

“Ini kerana blok enjin GX35 yang diperbuat daripada aluminium sangat tahan kepada sifat ethanol yang menghakis apabila dibakar. Kami guna ethanol 100 peratus sebagai bahan bakar prototaip ini,” katanya.
inovasi dari idea baharu

Ujarnya, antara inovasi yang dilakukan adalah dengan meletakkan sistem Electronic Fuel Enjection (EFI) pada enjin prototaip tersebut.

“EFI  jarang dilihat pada enjin kapasiti kecil kerana karburetor lebih murah. Tetapi kerana kami memerlukan nisbah udara bahan bakar yang optimum untuk memastikan penggunaan minyak paling sedikit, kami memasang sistem EFI pada enjin tersebut.

“Selain itu kami cipta  velocity stack pada kereta tersebut. Velocity stack memastikan udara yang masuk dalam ruang pembakaran laminar agar campuran udara bahan akar lebih sebati. Ini memastikan pembakaran lebih efisien,” katanya.

Tambahnya, pasukan itu juga melaksanakan system modularity terhadap kenderaan itu. Sistem ini pada asasnya untuk melihat sejauh mana komponen sistem yang boleh dipisahkan bergabung semula.

“Inovasi ini dilaksanakan dalam petak komponen enjin yang merupakan kawasan belakang kenderaan. Ia akan memudahkan proses menyediakan kenderaan untuk pertandingan. Sistem ini dapat mengubah koordinasi enjin tanpa mengubah koordinasi dan allignment tayar. Ini menjimatkan masa dalam proses penyelenggaraan,” katanya.

Katanya, satu lagi inovasi yang ditonjolkan adalah memasang kotak gear penghantaran ke enjin yang dihasilkan sendiri.

“Antara fungsi penghantaran kotak gear adalah untuk mengubah arah putaran aci enjin. Ia dilakukan dengan menyambungkan satu set gear bersama-sama aci lain. Aci ini kemudiannya disambungkan terus kepada rantaian pemacu sistem. Dengan ini, kenderaan dapat berjalan dengan lancar dan selamat,” katanya.

Memandangkan prototaip ini direka bagi tujuan khusus di dalam trek sahaja,  pemasarannya agak sukar dengan komposisi sedia ada.

“Sesetengah inovasi ini boleh dipasarkan kepada pengguna contohnya penggunaan ethanol 100 peratus sebagai bahan bakar dengan sistem EFI dan velocity stack pada enjin GX-35 yang meminimumkan pembebasan karbon monoksida di udara.

“Bagaimanapun kerana kumpulan kami menyertai kategori prototaip, kebanyakan modifikasi yang dilakukan kurang sesuai untuk digunakan dalam kereta biasa,” jelasnya.

Kumpulan ini juga turut dianggotai Muhammad Amir Firdaus Hisham dan Mohamed Ashraf Ali Jahaber Ali, berserta lima pelapis dari kursus yang sama.

-Sinar Harian


0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top