IKLAN

Sumber Gambar: Google Image

Dalam mengejar arus kemodenan dan menuju status Negara maju dalam tempoh lima tahun lagi, seharusnya adat dan budaya masyarakat Melayu tidak seharusnya dilupakan serta dipinggirkan. Disebalik anak muda dihidangkan dengan teknologi-teknologi yang semakin canggih, seni mempertahankan diri orang Melayu tidak mendapat sambutan daripada generasi muda.

Silat merupakan seni mempertahankan diri yang begitu terkenal dalam kalangan orang Melayu. Seni mempertahankan diri yang pernah terkenal sehingga dipertandingkan di dalam temasya sukan kini semakin dilupakan disebabkan mengejar arus kemodenan masa.

Tinjauan Perak Silver Youth mendapati, rata-rata anak muda yang ditemui bersetuju bahawa silat kini tidak lagi dapat menarik minat anak muda untuk belajar dalam seni mempertahankan diri orang Melayu itu.

Fazrin Amri
Pekerja swasta, Fazrin Amri Hazni 24 berkata, anak muda pada masa kini mungkin berfikir bahawa silat sudah tidak sehebat seperti dahulu.

“Ataupun faktor lain, mereka lebih suka mengikut trend terbaru dan melupakan budaya mereka sendiri. Saya bagi satu contoh, lebih ramai anak muda pergi ke gym berbanding menyertai silat.

“Selain itu, anak muda juga mungkin terlalu didedahkan dengan teknologi dan hiburan seperti nyanyian dan tarian, itu juga boleh menjadi salah satu faktornya.

Seorang pelajar institusi pengajian awam, Nur Syaza Aiman 23 , pula berkata, kurangnya pendedahan tentang seni mempertahankan diri itu juga merupakan salah satu faktor.

“Jika dahulu, kita boleh menonton di televisyen mesti ada drama yang mempamerkan aksi-aksi silat. Cerita-cerita Melayu zaman televisyen hitam putih selalu tayangkan juga tentang silat. Ibubapa juga turut menggalakkan anak-anak untuk belajar silat itu sendiri.

Sumber Gambar: Google Image
“Tetapi kalau kita lihat pada masa sekarang, pendedahan itu dah kurang. Televisyen pun sudah banyak tayangkan cerita-cerita yang tak ada pengisian.Jadi pengaruh dari media itu dah kurang,”ujarnya.

Tambahnya lagi, kebanyakkan ibubapa pada masa kini lebih gemar menghantar anak mereka ke kelas-kelas muzik, dan jika menghantar untuk ke kelas seni mempertahankan diri, selalunya adalah taekwondo.

Halizul
Pekerja swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Halizul pula berkata, faktor lain yang menjadi punca anak muda ini kurang mengenali silat ialah disebabkan kurangnya pendedahan daripada pasukan-pasukan silat.

“Mereka yang tahu tentang silat ini tidak tahu cara yang betul untuk menarik minat tentang keistimewaan dan jenis-jenis silat yang ada.

“Selain itu, aktiviti dalam persatuan yang kurang juga tidak berjaya menarik minat anak muda untuk menyertai dan kurangnya publisiti melalui media massa dan elektronik. Tak ada info-info grafik yang dapat menunjukkan kehebatan seni silat ini,”jelasnya.

Halizul turut berkata, jika mahu menarik semula minat anak muda dalam silat, semua pihak perlu meningkatkan publisiti sama ada di media massa dan elektronik.

“Selain itu, silat ini perlu dijenamakan semula tetapi janganlah sampai keterlaluan sehingga hilang apa itu silat Melayu.

Sumber Gambar : Google Image

“Langkah lain yang mungkin boleh diambil ialah bergabung dengan persatuan-persatuan belia tempatan, sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi untuk menarik minat golongan muda,”cadangnya.

Fazrin Amri pula berkata, persatuan silat yang sedia ada juga boleh bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang ada dengan menganjurkan hari terbuka untuk menaikkan semula silat.

Sementara itu, tambahnya lagi, ibubapa juga perlu sentiasa mendedahkan anak-anak mereka dengan tokoh-tokoh silat dan kepentingan ilmu mempertahankan diri.

Bagi mengatasi masalah ini, pelajar daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Nurul Haslinda Rosman 22 berkata, anak muda perlu diberi pendedahan dari awal lagi.

“Untuk mengelakkan seni silat ini terus dilupakan, seelok-eloknya silat ini didedahkan pada peringkat sekolah lagi.

“Selain itu, setiap kawasan perumahan atau kampung perlu menubuhkan kelab atau persatuan silat ditempat masing-masing.

Pelajar daripada Universiti Teknologi Melaka (UTEM), Muhammad Syakir Ab Rahim 23 pula berkata, satu program kesedaran perlu dianjurkan bagi memupuk semula semangat dan memberi penekanan tentang kelebihan silat.

“…dan juga, program-program lain yang boleh mendedahkan anak muda secara terus tentang seni mempertahankan diri yang kian dilupakan ini,”ujarnya.





30 Nov 2015

0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top