IKLAN


Jika dilihat dari jauh, khemah kecil yang terletak di Jalan Pari, Manjoi ini kelihatan seperti penjaja biasa tanpa ada yang menarik perhatian. Tetapi di sebalik ‘kelihatan biasa’ itu, ada pelanggan yang sanggup beratur selama 20 minit semata-mata untuk membeli sebungkus nasi yang lebih dikenali sebagai Nasi Kaya RM3.

Pemilik Nasi Kaya RM3, Mohammad Farul Mohammad 37 berkata, perniagaan Nasi Kaya RM3 ini telah dibuka sejak Jun lalu, namun terpaksa ditutup sementara berikutan bulan puasa.

Tambahnya, beliau mula berniaga selepas terpaksa berhenti menjadi pensyarah berikutan masalah mata yang dihidapinya sehingga memegang status Orang Kurang Upaya (OKU).

“Sebelum memulakan perniagaan Nasi Kaya ini selepas terpaksa berhenti menjadi pensyarah, saya menjual alat permainan di hadapan sekolah, tetapi terpaksa berhenti disebabkan ada bantahan daripada ibubapa.

“Kemudian, selepas berbincang dengan rakan-rakan alumni dari Sekolah St Michael Ipoh, mereka mencadangkan agar saya menjual nasi berlauk dan mereka sendiri sudi tolong saya membeli khemah kecil dan kanopi ini,”katanya.

Selain itu, beliau turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM2,500 untuk membeli barang keperluan untuk memasak.

Katanya, beliau mendapat resipi Nasi Kaya ini hanya melalui pembelajaran di Internet tanpa berjumpa dengan gurunya.

“Saya belajar melalui internet. Guru saya itu bagi resepi mengikut sukatan yang betul. Apa yang menarik, semua masakan ini jika pelanggan rasa manis, itu adalah manis madu, bukannya gula.

“Kadang-kadang saya tambah sedikit bahan-bahan lain yang dibenarkan oleh guru yang mengajar saya itu,”katanya.


Bercerita tentang punca beliau terpaksa berhenti menjadi pensyarah Teknologi Maklumat di sebuah kolej swasta, beliau mempunyai masalah penglihatan akibat penyakit strok dalaman (lubang kecil pada otak) yang dialami sejak 2013.

Disebabkan masalah penglihatan yang dihidapinya, beliau terpaksa menunggu keadaan cerah dan terang sebelum memandu dari rumahnya sejauh lima kilometer ke gerai jualannya.

Nasi Kaya RM3.
Ceritanya lagi, kisahnya menjual nasi berlaukkan ayam atau ikan keli turut pernah diviralkan di Facebook beberapa bulan lalu, dan semenjak itu, semakin ramai pelanggan sanggup beratur untuk membeli Nasi Kaya yang dijualnya.

“Sebelum diviralkan, orang cuma pesan dan datang ambil sahaja. Tetapi selepas diviralkan, semakin ramai orang beratur untuk membeli. Alhamdulillah, rezeki kami sekeluarga,”ujarnya.

Tambah bapa kepada empat orang anak itu lagi, sehingga kini, beliau menyediakan empat jenis lauk kepada pelanggannya tidak termasuk sayur dan papadom.
Liana (berbaju hijau) turut dibantu oleh adik-adiknya
(berbaju merah) dan ayahnya (berbaju putih).

Farul berkata, hanya isterinya, Liana Ahmad sahaja yang memasak kesemua jenis lauk memandangkan beliau tidak boleh membantu untuk akibat masalah penglihatan yang dihidapinya.

Liana berkata, meskipun ada yang berpendapat nasi yang dijualnya murah, beliau dan suami masih mampu untuk meraih keuntungan walaupun sedikit.

Tambahnya, selain nasi kaya, beliau turut dibantu oleh adik-adiknya sehingga jam 9 pagi dan turut dibantu oleh ayahnya.

Selain menjual Nasi Kaya, ayahnya turut menjual Choong Fun bersebelahan dengan gerainya yang dikenali sebagai Manjoi Choong Fun.

Manjoi Choong Fun
Tinjauan wartawan Perak Silver Youth mendapati, walaupun keadaan hujan renyai-renyai awal pagi tadi, orang ramai masih beratur untuk membeli Nasi Kaya ini.

Seorang pelanggan, Muhammad Fazil Ahmad Shah 39 berkata, ini merupakan kali pertama beliau membeli Nasi Kaya.

“Saya tahu tentang Nasi Kaya ini melalui Facebook. Bagi saya, ianya berbaloi dengan harga,”ujarnya.

Seorang lagi pelanggan, Richard Wong 28 berkata, ini merupakan kali pertama beliau berhenti untuk membeli walaupun hampir setiap hari melalui jalan yang sama.

“Setiap hari saya menggunakan jalan ini untuk menghantar isteri ke tempat kerja dan saya tengok ramai yang beratur. Jadi hari ini, saya sendiri ingin mencuba Nasi Kaya ini.

“Selain murah, kuantitinya juga banyak dan ianya nampak menyelerakan,”ujarnya.

Orang ramai mempunyai pilihan untuk membeli Nasi Kaya ini iaitu Nasi Kaya  RM3 (dua jenis lauk), Monster Pack (empat jenis lauk) dan Monster Pack Special (5 jenis lauk) yang boleh dipilih oleh pelanggan sendiri.

Monster Pack Special
Setiap set hidangan akan disertakan sekali bersama sayur dan papadom.


Nasi Kaya RM3 dibuka setiap Isnin hingga Jumaat bermula dari jam 8 pagi hingga 11 tengah hari atau ke Facebook Nasi Kaya RM3 [Klik Link]


25 Nov 2015

0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top