Penyebaran maklumat di media sosial terutamanya melalui
aplikasi Whatsapp yang majoriti penggunanya adalah golongan muda
tanpa usul periksa bagaikan menempah saham dosa.
Imam Besar Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh, Syed Mohd
Muzaffar Syed Azlan berkata, penyebaran maklumat atau berita melalui Whatsapp berkaitan dengan sifat amanah
seseorang.
“Kita kena melihat, Allah SWT sarankan kita ada sifat
amanah. Amanah ini luas dalam Islam. Antara yang disebut dalam Al-Quran, Allah
perintahkan supaya kita menjaga amanah.
“Dengan sifat amanah, kita akan lebih berjaga-jaga dalam melakukan sesuatu
perkara. Apatah lagi menyebarkan berita, sebab menyebarkan berita berkait
dengan amanah,”katanya.
Tambah Syed Mohd Muzaffar lagi, setiap berita yang
diterima perlu diselidiki terlebih dahulu sebelum disebarkan bagi mengelak
fitnah seperti yang difirmankan di dalam surah Al Hujurat, ayat 6.
“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu sesuatu atau
seorang yang fasik (yang diragui), selidikilah dahulu untuk menentukan
kebenaran supaya kamu tidak menimpa sesuatu kaum dengan perkara yang tidak
diingini dengan sebab kejahilan kamu mengenainya.”
“Maksudnya disini, apabila kita mendapat berita, selidik
dahulu. Kalau kita sebarkan berita yang buruk, tapi sebenarnya baik atau sebaliknya,
ia akan menyebabkan orang yang menerima itu turut sama jahil atau turut sama
berada dalam komplot cerita yang tidak benar.
“Tambah pula masyarakat sekarang, ramai yang terima berita,
tetapi tidak mengkaji kesahihannya. Allah SWT perintahkan supaya kita kaji
dahulu. Bila kita sebarkan kepada orang lain, mereka percaya dan sebarkan.
Kesalahan itu berbalik kepada kita. Ini berkait dengan saham dosa,”jelasnya.
Menurut imam yang baru berusia 29 tahun itu lagi, saham dosa
bermaksud jika seseorang itu menyebarkan fitnah dan mereka yang menerima berita
itu turut menyebarkan kepada yang lain, seseorang itu akan tetap mendapat saham
dosa.
“Whatsapp ini
cepat untuk kita mendapat saham sama ada saham dosa atau saham pahala. Kalau
berita palsu disebarkan, maka dia bertanggungjawab untuk mewakili semua orang
meminta maaf kepada orang difitnahnya,”katanya.
Tambahnya lagi, antara implikasi yang diterima oleh
masyarakat akibat penyebaran berita yang belum sahih adalah ianya menyebabkan
kejahilan makin bertambah.
“Paling utama, masyarakat lebih mudah terpedaya dan mudah
percaya. Ianya menyebabkan kejahilan makin lama makin bertambah.
“Rentetan penyebaran berita palsu, masyarakat menjadi jahil
dan makin banyak berita palsu yang disebarkan,”ujarnya.
Beliau turut mengulas berkaitan mesej-mesej berantai yang
selalu menggunakan hadis-hadis Nabi SAW yang
turut disebarkan melalui aplikasi Whatsapp.
“Jika dapat berita-berita
yang berkait dengan hadis Nabi SAW, kita sebagai umat yang bertanggungjawab, kita
kena selidik dahulu kita kena berjumpa dengan orang alim sama ada hadis ini
sahih atu tidak. Itu sudah jadi tanggungjawab,” tegasnya.
Beliau turut menasihati agar masyarakat tidak mudah melatah
atau mereka sendiri berita-berita palsu dan disebarkan kepada orang ramai.
“Pertama, jangan mudah
melatah. Bila terima sesuatu berita jangan mudah melatah. Kena baca dan
selidik, jumpa ahli-ahli ilmu baru sebarkan jika perlu.
“Kedua, kita sendiri jangan mengada-adakan atau mereka,
contohnya hadis walaupun ianya bertujuan baik. Matlamat tidak menghalalkan
cara,”nasihatnya.


0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.