IKLAN

Sumber: Google

IPOH: Penyebaran berita-berita yang belum sahih dalam kalangan pengguna di media sosial, terutamanya golongan muda ternyata mendapat pelbagai pandangan daripada masyarakat.

Terdahulu, pada pertengahan lalu terdapat khabar angin yang tersebar di media sosial yang mendakwa Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan menyekat penggunaan media sosial di Negara ini, tetapi ditepis oleh Menteri KKMM ketika itu, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Tinjauan Perak Silver Youth dalam kalangan anak muda di negeri ini berkaitan penyebaran berita-berita palsu dan tidak sahih mendapati, rata-rata anak muda tidak bersetuju dengan tindakan segolongan belia yang bertindak sedemikian.

Nur Balqis Zainuddin 23, menganggap perbuatan menyebarkan berita-berita palsu di media sosial adalah suatu perkara yang membuang masa.

“Sebenarnya bagi saya, ia kerja yang membuang masa. Apa salahnya kalau media sosial itu kita guna untuk berita-berita yang baik  dan bermanfaat,”katanya.

Tambahnya lagi, mereka yang sering menyebarkan berita-berita yang palsu perlu dikenakan tindakan tegas, tetapi dalam masa yang sama, beliau mengharapkan agar media sosial di Negara ini tidak disekat pada masa hadapan.

“Pada saya, kalau disebabkan berita-berita yang tidak sahih dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, jangan disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga.

“Disebabkan golongan ini, semua sekali terlibat. Kalau nak hukum, hukum mereka yang terlibat. Mereka yang degil itu kita kenakan tindakan yang sewajarnya,”jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, media sosial boleh dijadikan medium untuk menyampaikan perkara-perkara yang positif sepeti menyampaikan pandangan untuk pembangunan belia dan sebagainya.

Juruteknik Komputer, Shahril Anuar Mat Halili berkata, kerajaan perlu mengenakan tindakan tegas kepada mereka yang menyebarkan berita-berita palsu.

“Dari sudut kerajaan, perlu buat undang-undang yang amat ketat sekali untuk mereka yang menyalahgunakan media sosial supaya mereka dibawa ke muka pengadilan dan dapat pengajaran yang sepatutnya.

“Di Malaysia, kalau kita tengok perangkaan pengguna media sosial dari masa ke semasa, ianya semakin meningkat. Pecahan-pecahannya terdiri dalam kalangan belia, dewasa dan orang tua,”katanya.

Jejaka berusia 25 tahun dari Bagan Serai itu berkata, sebagai golongan muda, mereka harus memikirkan akan implikasi yang akan timbul sekiranya menyebarkan berita-berita yang masih belum disahkan lagi.

Pensyarah dari Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Seri Iskandar, Kishore Kumar 29 berkata, media sosial adalah medium yang baik, tetapi pengguna perlu tahu bagaimana hendak menggunakan media sosial dengan sebaiknya.

“Media sosial satu perkara yang baik, tapi masalahnya belia menyalahgunakan dan selalu viralkan perkara-perkara yang tidak sahih.

“Satu benda nak jadi viral tak susah, kadang-kadang orang tak baca habis, terus diviralkan. Kita kena tahu macam mana nak guna media sosial sebaiknya,”katanya.

Pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK Gunung Rapat), Muhammed Nazhrin Faisal Sabri berkata, isu yang diviralkan oleh golongan muda tanpa usul periksa telah mewujudkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Isu-isu yang diviralkan ialah masalah utama kerana ianya berkaitan dengan kebebasan bersuara. Terdapat provokasi-provokasi tentang berita-berita yang tak benar.


“Ini salah satu masalah yang membawa kekeliruan. Masyarakat tak tahu apa yang benar dan apa perkara yang tak benar. Sudah tidak ada sempadan antara kedua-dua itu,”jelasnya.


Tambahnya, namun begitu, media sosial juga memainkan peranan penting untuk menyatukan masyarakat di Negara ini.


“Untuk perpaduan, kita kena menjaga hubungan sesame kita. Mereka yang melakukan provokasi-provokasi ini, mereka sebenarnya yang menghalang perpaduan Negara,”katanya.


12 Nov 2015

0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top