IKLAN


IPOH: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Utara untuk membantu 20 pelatih wanita yang terdiri daripada anak-anak golongan asnaf.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Dr Amiruddin Muhamed berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti Program Pemerkasaan Asnaf.
Ujarnya, duit zakat yang diterima oleh pihaknya bukan sahaja digunakan untuk membantu secara terus, tetapi juga digunakan dalam usaha untuk mengeluarkan golongan tersebut dari kelompok kemiskinan.
“Kita bukan sahaja bantu ketua keluarga untuk keluar dari kemiskinan menerusi bantuan modal, tetapi juga untuk anak-anak mereka.

“Mereka ini golongan tercicir kerana kemiskinan keluarga. Ibu bapa tidak dapat membantu dari sudut pendidikan. Jadi kita ambil anak-anak mereka untuk mengikuti kursus yang ‘high impact’,”katanya dalam sidang media selepas majlis menandatangani MoU tersebut di Kompleks Islam Darul Ridzuan, pagi tadi.
Tambahnya lagi, kerjasama dengan pihak ABM tersebut akan melatih anak-anak asnaf menjadi pekerja mahir yang sangat diperlukan dalam industri.
Mengulas lanjut, MAIPk memperuntukan sebanyak RM14,450 untuk seorang pelatih bagi tempoh enam bulan yang mengikuti kursus tersebut.
Jelasnya jumlah keseluruhan peruntukan adalah sebanyak RM289,000 yang meliputi bayaran yuran dan belanja sara hidup.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIDB Holding Sdn Bhd merangkap Ahli Lembaga Pengarah ABM Wilayah Utara, SR Abdul Latif Hitam berkata, pihaknya memfokuskan kepada bidang-bidang kemahiran yang boleh mendatangkan pendapatan tinggi.
“Mereka (20 pelatih) ini akan mengikuti kursus Lukisan Senibina dalam konteks penggunaan komputer.
“Di peringkat syarikat-syarikat arkitek atau kontraktor yang menjalankan kerja dari segi lukisan senibina, orang macam merekalah yang diperlukan,”ujarnya.
Dalam masa yang sama, beliau berkata, tidak perlu wujud persepsi yang negatif terhadap pekerjaan tersebut kerana industri itu mempunyai jaminan kerja dan pendapatan yang baik.
Sejak tahun 2014 sehingga 2015, MAIPk telah membelanjakan RM1,379,500 untuk empat kursus yang ditawarkan menerusi kerjasama dengan beberapa pihak yang melibatkan 130 pelatih.


15 Apr 2016

0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top