![]() |
| Gambar:-Google |
IPOH: Semak semula kadar gaji bagi golongan graduan yang baru sahaja menamatkan pengajian di universiti supaya golongan muda juga mampu memiliki rumah mampu milik.
Langkah itu merupakan antara cadangan utama yang dilontarkan oleh kebanyakan golongan belia bagi membantu mereka memiliki rumah selepas memasuki dunia pekerjaan dan setelah bertungkus lumus selama beberapa tahun mendapatkan segulung ijazah.
Seorang kakitangan swasta, Ahmad Abdullah Al Amin Aurani 29, berkata, pendapatan bulanan bagi graduan yang baharu sahaja menamatkan pengajian masih tidak mencukupi.
“Buat masa sekarang, dari segi pendapatan bulanan tidak mencukupi sama ada dari segi kos atau apa-apa yang kita buat perbelanjaan setiap bulan.
“Macam saya mewakili golongan belia berpendapat, harga yang dipertukkan oleh kerajaan, mungkin kena dilihat dari sudut yang lebih jauh lagi,”katanya.
Jelasnya lagi, kerajaan perlu melihat, mengkaji dan membentangkan semula tentang harga rumah mampu milik bagi golongan muda.
Pensyarah daripada Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Seri Iskandar, Kishore Kumar berkata, dengan kadar gaji yang dimiliki oleh para lepasan graduan, ianya masih tidak mencukupi.
“Ianya bergantung pada ekonomi. Kalau kita tengok graduan yang baru keluar, rata-rata gaji sekitar RM2,000. Kalau hidup di Perak, masih mampu lagi. Kalau di Kuala Lumpur macam mana?
“Memang rumah itu mampu milik, tetapi mampu dibayar ke? Secara peribadi, rumah mampu milik ini kita tengok dari segi pendapatan juga.
“Kerajaan bagi pinjaman, tapi bila bayar, taraf kehidupan bagi lepasan graduan dibawah paras kemiskinan,”jelasnya.
Pensyarah berusia 29 tahun itu turut menyarankan agar kerajaan menyemak semula tangga gaji terutama bagi lepasan universiti yang baharu sahaja menamatkan pengajian.
Seorang lagi pekerja swasta, Shahril Anuar Mat Halili 26, berkata kerajaan seharusnya melihat kepada ekonomi belia sekiranya mahu membantu golongan belia memiliki rumah.
“Kita mahu kerajaan memandang serius tentang rumah mampu milik dalam kalangan belia supaya golongan ini mampu memiliki rumah.
“Apa salahnya jikalau kerajaan melonggarkan peraturan-peraturan atau akta-akta yang sedia ada dalam pemilikan rumah mampu milik untuk belia,”katanya.




0 Comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.