Menu

IKLAN




Muhammad Izzat Ismail 25, sanggup melepaskan jawatannya sebagai penasihat perkhidmatan di salah sebuah syarikat terkemuka di ibu kota semata untuk memberi tumpuan sepenuhnya dalam bidang perniagaan, rokok eletronik atau vape.

Izzat berkata, sebelum ini beliau bekerja di Kuala Lumpur dan mula menjalankan perniagaan vape ini semenjak yang Ramadhan lalu.

“Pada mulanya, saya berniaga kecil-kecilan. Satu hari itu, saya terfikir untuk bekerja di Ipoh disebabkan ibu bapa saya menetap di sini.

“Jadi pada Jun lalu, saya mula mencari tapak untuk memulakan perniagaan saya dan hampir sebulan saya berulang alik Ipoh – Kuala Lumpur,”katanya.

Tambahnya lagi, disebabkan merasa letih untuk berulang-alik, beliau nekad untuk berhenti kerja dan memberi tumpuan sepenuhnya pada perniagaan.

Menurutnya lagi, beliau memerlukan modal sebanyak RM40,000 bagi memulakan perniagaan vape-nya itu.


“Saya gunakan duit simpanan saya yang saya ada dan sedikit pinjaman daripada keluarga untuk memulakan perniagaan ini.

“Alhamdulillah, sehingga kini saya mempunyai dua kedai milik bersama dengan rakan saya dan empat pekerja di Ipoh Garden dan juga di Station 18, Pengkalan,”katanya.

Ujarnya, sehingga kini, beliau berjaya memperolehi pendapatan yang agak lumayan.

Di awal perniagaannya, kedainya diberi nama Smokh Vapor mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada peminat-peminat vape.

“Sambutan pada awal perniagaan sangat memberangsangkan sebab di kawasan Ipoh Garden ni, hanya ada Smokh Vapor.

“Tetapi semenjak adanya kedai-kedai vape yang lain,  semakin banyak persaingan yang timbul,”katanya.


Saat ditanya mengenai penjualan vape kepada orang ramai, Izzat menegaskan bahawa beliau tidak sama sekali menjual vape kepada pelajar sekolah.

“Ramai pelanggan di Smokh Vapor dari kalangan mereka yang sudah bekerja. Kami tidak sesekali akan menjual kepada pelajar sekolah.

“Kalau mereka datang ke kedai kami, kami takkan benarkan mereka masuk atau tidak akan melayan,”tegasnya.

Menurut bekas pelajar dari Politeknik Kota Bharu itu lagi, beliau memperolehi bekalan bagi rokok eletronik itu daripada pembekal di Kuala Lumpur.

Tambahnya, beliau akan mendapatkan bekalan vape di Kuala Lumpur sekurang-kurangnya dua minggu sekali.

Tambahnya lagi, setiap pelanggan yang datang ke kedainya akan diberi penerangan berkaitan vape, terutama kepada mereka yang baharu.


“Kalau ada pelanggan baharu datang dan nak belajar hisap vape, kami akan terangkan sampai habis.

“Kalau mereka tak faham atau ada masalah, mereka boleh datang semula ke sini atau kedai vape yang lain.

“Ia bertujuan untuk mengelakkan daripada berlaku perkara-perkara yang tidak diingini,”katanya.

Beliau turut memberi pandangan beliau berkaitan vape yang menjadi isu sejak kebelakangan ini.

“Pada saya, vape ini boleh menggantikan rokok, tetapi ianya memerlukan tekad yang kuat.

“Macam saya, saya masih menghisap rokok walaupun saya menghisap vape. Tapi kuantiti rokok saya berkurangan,”katanya.

Bekas pelajar bidang automotif itu berkata lagi, ada di antara pelanggannya terus berhenti menghisap rokok selepas diperkenalkan dengan vape.


“Ada pelanggan saya berhenti terus menghisap rokok. Cuma pada mulanya, mereka perlu meletakkan kadar nikotin yang agak tinggi, dan makin lama makin berkurangan.

“Ada juga pelanggan saya seorang doktor yang juga menghisap vape, doktor tersebut turut mengakui vape tidak merbahaya berbanding rokok,”ujarnya.

Beliau turut menasihati anak-anak muda yang menghisap vape agar sentiasa menghormati keselesaan orang lain ketika di tempat awam.

“Ianya satu tingkahlaku yang buruk (jika menghisap vape di tempat awam). Vape ini macam rokok, kalau tempat tersebut tak boleh hisap rokok, maknanya vape pun tak boleh.

“Selalunya yang buat macam itu adalah mereka yang nak ikut trend. Kalau orang-orang lama, mereka tahu menghormati masyarakat sekeliling,”katanya.

0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top