Menu

IKLAN


KUALA KANGSAR: Golongan belia yang menceburkan diri dalam bidang keusahawanan dan perniagaan perlu mempunyai semangat dan jati diri yang kuat apabila bergelar seorang usahawan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Negeri Perak, Datuk Dr Mohd Nizar Zakaria berkata, ini kerana, usahawan belia perlu mengadaptasi ruang perniagaan yang cukup luas.

“Mereka akan mengadaptasi dalam ruang lingkungan ruang-ruang perniagaan yang cukup bervariasi sama ada di dalam negeri, Negara dan juga global.


“Ruang dan peluang itu cukup luas dan terbuka kepada mereka. Cuma bagaimana mereka beraksi ketika berada di lapangan tersebut, itu bergantung kepada bentuk dan penilaian mereka,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) 2.0 Negeri Perak yang diadakan di Kem PLKN Desa Rimba, Chenderoh, di sini, petang tadi.

Tambahnya lagi, kerajaan sentiasa menyokong dan memberi lonjakan terbaik terutamanya kepada golongan belia yang merupakan aset-aset penting, terutama dalam ruang perniagaan.


“TUBE telah pun dijadikan sebagai asas untuk membantu golongan belia Bumiputera di seluruh mereka kerana mereka akan dibantu dan pada masa yang sama, mereka akan dipasak dari segi modal ilmu, ketahanan diri dan lain-lain sebagai langkah persiapan sebagai seorang usahawan.

“Model ini merupakan model yang cukup baik sebab TUBE 1.0 telahpun berjaya dimana kita melahirkan usahawan-usahawan belia. Mereka telahpun menunjukkan keupayaan mereka dalam menceburi ruang-ruang perniagaan,”ujarnya.


Beliau turut mengharapkan agar peserta-peserta TUBE 2.0 dapat membantu peserta-peserta TUBE yang akan datang.

Di Perak, seramai 42 orang telah terpilih untuk menyertai program TUBE 2.0.

Sementara itu, wakil Pengurusan Korporat SME Corp Malaysia, Suraya Kulop Abd Rahman berkata, TUBE 2.0 merupakan kesinambungan daripada TUBE 1.0 yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tahun lalu.


“Ada tiga fasa iaitu Fasa 1 adalah untuk kita melihat kekuatan jati diri mereka untuk melaksanakan aktiviti secara fizikal, Fasa 2 adalah untuk kita memberi tunjuk ajar dalam masa lebih kurang dua minggu.

“Fasa 3 pula ialah dari segi bimbingan dimana setiap peserta TUBE akan dibimbing oleh pegawai-pegawai SME Corp. Jadi mereka akan dibimbing dalam masa setahun dan akan diberi bantuan,”ujarnya.

Tambahnya lagi, SME Corp akan mengeluarkan dana permulaan sebanyak RM15,000 kepada peserta TUBE sekiranya mereka berjaya selesaikan Fasa 1 dan Fasa 2 serta menunjukkan sijil-sijil pendaftaran.

Suraya turut berkata, selepas diberikan modal, pihaknya akan sentiasa berhubung dengan para peserta dan akan memadankan perniagaan peserta TUBE dengan agensi-agensi kerajaan yang lain.


“Tugas kami sebagai pembimbing adalah untuk mewujudkan rantaian antara peserta dengan agensi-agensi kerajaan,”ujarnya.


0 Comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Top